Abang rider hampir meninggal terjerut tali layang layang

KUALA LUMPUR – Seorang penunggang motosikal berusia 27 tahun nyaris maut apabila lehernya tersangkut tali layang-layang yang melintang di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), berhampiran Taman Tasik Metropolitan, pada petang Ahad.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa, kejadian berlaku kira-kira jam 6 petang ketika mangsa sedang menunggang dari arah Batu Caves ke Sri Damansara.

“Mangsa tidak menyedari kehadiran tali yang merentangi jalan sebelum ia tersangkut pada bahagian badan dan lehernya lalu terputus,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mangsa sempat berhenti di tepi jalan dan mendapati lehernya cedera akibat insiden tersebut.

Peringatan Kepada Orang Ramai Elak Bahaya Layang-Layang di Jalan Raya

Pihak berkuasa mengingatkan orang ramai agar tidak menerbangkan layang-layang berdekatan lebuh raya atau jalan utama kerana tindakan itu boleh mengundang bahaya serius kepada pengguna jalan raya, termasuk risiko kehilangan nyawa.

Peringatan ini susulan satu video tular di media sosial yang memaparkan insiden seorang penunggang motosikal cedera di leher selepas terkena tali layang-layang semasa melalui kawasan ini.