Bantuan Latihan Perantis (BLP) Jabatan Kebajikan Masyarakat

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merupakan Jabatan / Agensi di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Jabatan ini bertanggungjawab menyediakan pelbagai bentuk bantuan kewangan kepada kumpulan sasar bagi meneruskan kelangsungan hidup. Skim bantuan yang disediakan sebenarnya sebagai salah satu inisiatif kerajaan untuk membantu klien dalam proses pemulihan, pencegahan, pembangunan dan pengintegrasian ke arah kehidupan yang lebih berdikari. Salah satu skim bantuan yang disediakan oleh JKM adalah skim Bantuan Latihan Perantis (BLP).


Skim Bantuan Latihan Perantis (BLP) ini diwujudkan bagi membantu klien Jabatan terutamanya anak-anak penerima bantuan yang tercicir daripada persekolahan, menganggur / tidak bekerja serta bekas pelatih Institusi Kebajikan untuk mendapatkan latihan kemahiran atau latihan sambil bekerja. Dengan adanya skim bantuan ini, anak – anak penerima bantuan dapat berdikari serta memperolehi sumber pendapatan masing – masing setelah tamat latihan kemahiran. Malah, mereka juga berpeluang bekerja sambil latihan dan seterusnya berpeluang bekerja di sektor industri sesuai dengan kemahiran yang ada. Skim ini membolehkan taraf ekonomi klien JKM semakin baik serta dapat hidup dengan lebih selesa biarpun sederhana.

 

Sepanjang menjalani tempoh latihan, setiap peserta layak mendapat bantuan sebanyak RM 200 sebulan. Tempoh latihan maksima adalah sehingga 24 bulan.

 

Syarat Kelayakan

  • Merupakan warganegara Malaysia dan tinggal di Malaysia
  • Merupakan anak penerima bantuan atau  bekas pelatih / bekas penghuni institusi kebajikan; atau
  • Kes-kes seliaan akhlak; atau
  • Merupakan bekas pelatih Perintah Khidmat Masyarakat; atau
  • Mana-mana kes yang berkeperluan, layak dipertimbangkan dengan kelulusan KPKM.
  • Setiap keputusan permohonan akan dimaklumkan dalam tempoh 30 hari dari tarikh permohonan lengkap diterima


Cara Membuat Permohonan

Anda boleh membuat pendaftaran secara online secara dalam talian melalui sistem eJKM. Berikut merupakan cara membuat permohonan bantuan :

  • Layari portal rasmi sistem eJKM di http://ebantuanjkm.jkm.gov.my/
  • Klik butang Daftar Permohonan Atas Talian dan klik butang Daftar Permohonan
  • Pilih Negeri berkenaan dan masukkan nombor kad pengenalan baru
  • Klik butang Daftar
  • Masukkan maklumat yang diperlukan dengan lengkap
  • Pendaftaran akaun anda telah selesai 
  • Cetak dan hantar borang permohonan serta borang kemaskini maklumat ke Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat mengikut daerah sama seperti yang telah dimohon dalam sistem dalam tempoh 14 hari dari tarikh permohonan dalam talian dibuat
  • Sistem akan membatalkan permohonan dalam talian secara automatik sekiranya pemohon gagal hadir ke Pejabat JKM daerah dalam tempoh 14 hari 

Dokumen Sokongan Yang Diperlukan 

  • Salinan MyKad atau kad pengenalan pemohon
  • Salinan MyKad atau kad pengenalan ahli keluarga yang tinggal bersama  
  • Salinan Kad OKU atau slip pendaftaran sementara OKU (sekiranya pemohon seorang OKU)
  • Salinan slip gaji / penyata pendapatan / surat akuan pendapatan (sekiranya bekerja sendiri)
  • Salah satu bil utiliti samada bil air / elektrik / telefon / Astro
  • Laporan perubatan dari hospital atau klinik kesihatan kerajaan / swasta (sekiranya OKU sedang terlantar sakit / kronik / alat tiruan / tidak bekerja 

 

Cara Membuat Semakan

Semakan permohonan boleh dibuat secara dalam talian dengan mudah, iaitu :

  • Layari sistem eJKM di http://ebantuanjkm.jkm.gov.my/
  • Klik butang Semakan Status Permohonan Atas Talian
  • Masukkan nombor kad pengenalan pemohon dan tekan butang Semak
  • Status permohonan anda akan dipaparkan sebaik sahaja butang Semak ditekan
  • Status permohonan yang dipaparkan adalah berdasarkan bantuan yang telah dipohon atau yang telah diterima oleh pihak JKM sahaja

 

Maklumat Lanjut

Maklumat lanjut boleh diperolehi melalui Pusat Kebajikan Masyarakat / Daerah / Bahagian / Jajahan di mana permohonan bantuan telah dibuat atau boleh hubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat  di alamat berikut :

Jabatan Kebajikan Masyarakat
Aras 6, 9-18
No 55, Persiaran Perdana,
Presint 4,
62100 Putrajaya

Nombor Telefon : 03-8000 8000

Nombor Faks : 03-8323 2045