Orang Kurang Upaya (OKU) merupakan golongan yang perlu dibantu oleh kerajaan. Justeru,
Jabatan Kebajikan Masyarakat di bawah pentadbiran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyediakan pelbagai skim bantuan khusus untuk membantu golongan OKU ini. Salah satu bantuan khusus disediakan untuk golongan OKU adalah skim Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB). Individu OKU yang tidak bekerja layak menerima bantuan RM 250 sebulan.
Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB) diberikan kepada individu OKU bagi membantu menyara kehidupan serta mempertingkatkan kualiti dan kesejahteraan golongan ini. Ia juga dapat mengurangkan jumlah golongan ini dimasukkan ke Institusi Kebajikan dan mereka boleh terus tinggal di rumah bersama keluarga masing – masing tanpa sebarang masalah.
Kriteria dan Syarat Kelayakan
Setiap permohonan mestilah mematuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan seperti berikut :
-
- Warganegara Malaysia dan tinggal di Malaysia
- Pendapatan bulanan tidak melebihi PGK semasa (Ia merujuk kepada semua pendapatan yang diterima termasuk pencen bulanan, pencen ilat, PERKESO, bantuan bulanan, insurans dan lain- lain)
- Mestilah berdaftar dengan JKM
- Berumur antara 18 – 59 tahun dan bukan penerima skim bantuan bulanan JKM sedia ada
- Pemohon tidak terlibat dengan Program Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) kelolaan JKM dan program penjagaan / pemulihan kelolaan agensi Kerajaan dan NGO Kebajikan; dan
- Bantuan ini boleh dipertimbangkan kepada pemohon sekiranya keluarga pemohon menerima Bantuan Penjagaan OKU Terlantar (BPT)
Kadar Bantuan
Bantuan sebanyak RM 250 sebulan dan tempoh kaji semula adalah selama 12 bulan
Cara Membuat Permohonan
- Permohonan boleh dibuat melalui cawangan pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, Daerah, Jajahan atau Bahagian.
- Permohonan mestilah menggunakan borang permohonan JKM18 yang boleh didapati Pejabat Kebajikan Masyarakat di seluruh Negara atau memuat turun borang tersebut di laman web rasmi JKM
- Permohonan akan diproses dalam tempoh dua (2) minggu dan keputusan permohonan akan dimaklumkan dalam masa satu (1) bulan dari tarikh permohonan yang lengkap diterima
Dokumen Pendaftaran
Senarai dokumen sokongan diperlukan semasa memohon bantuan bulanan adalah seperti berikut :
- Salinan Kad Pengenalan Pemohon
- Salinan Kad Pengenalan / Sijil Kelahiran Ahli Keluarga Yang Tinggal Bersama
- Slip Pendaftaran OKU
- Laporan Perubatan Dari Hospital Atau Klinik Kesihatan Kerajaan (Jika Berkaitan)
- Penyata Pendapatan Atau Surat Pengesahan Pendapatan Dari Majikan/ Surat Akuan Pendapatan (Jika Bekerja Sendiri)
- Lain-Lain (Jika Ada):Socso / Kwsp / Pencen / Buku Pelaburan
Jawatankuasa penilaian akan membuat siasatan terlebih dahulu setelah menerima permohonan dari pemohon. Individu OKU seharusnya mendaftar dengan pihak JKM supaya pihak kerajaan dapat mengumpul maklumat atau data mengenai taburan golongan OKU di negara ini. Ia juga bagi memudahkan kerajaan merangka serta merancang program atau latihan yang bersesuaian buat golongan ini. Golongan OKU yang berdaftar juga berpeluang mendapat kemudahan yang disediakan oleh kerajaan tanpa sebarang keciciran nama.
Maklumat Lanjut
Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut boleh diajukan kepada :
Jabatan Kebajikan Masyarakat
Aras 6, 9-18
No 55, Persiaran Perdana
Presint 4,
62100 Putrajaya
Telefon : 03 – 8000 8000
Faks : 03 – 8323 2045