Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bertanggungjawab terhadap kebajikan rakyat di negara ini. Sebagai sebuah agensi kerajaan, JKM dipertanggunjawabkan untuk menyalurkan bantuan kepada kumpulan sasar agar mereka dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik dan sempurna. Segala bentuk bantuan yang diberikan merupakan salah satu medium bantuan kepada rakyat untuk melalui proses pemulihan, pencegahan, pembangunan dan juga pengintegrasian kehidupan.
Terdapat pelbagai skim bantuan yang diperkenalkan oleh JKM termasuklah Bantuan Penjagaan OKU Terlantar / Pesakit Kronik Terlantar. Skim bantuan ini bagi membantu meringankan bebanan penjaga / keluarga untuk menjaga ahli keluarga OKU terlantar / pesakit kronik terlantar yang memerlukan penjagaan rapi. Ia juga bertujuan supaya ahli keluarga / penjaga tidak berasa terbeban dengan situasi yang dihadapi di mana pesakit menghidapi penyakit teruk yang berlarutan serta sukar sembuh.
Kadar Bantuan
Bantuan yang diberikan adalah sebanyak RM 350 sebulan untuk seorang.
Syarat dan Kriteria Kelayakan
- Mestilah merupakan warganegara Malaysia dan menetap di dalam negara
- Pemohon merupakan penjaga sepenuh masa atau memberi penjagaan rapi kepada ahli keluarga OKU yang terlantar / pesakit terlantar / pesakit kronik yang memerlukan penjagaan serta pengawasan rapi
- Berpendapatan bulanan tidak melebihi RM 3,000
- Sekiranya terdapat sebarang kes yang berkeperluan, ianya layak dipertimbangkan dengan kelulusan KPKM
Cara Membuat Permohonan
- Permohonan boleh dibuat melalui portal rasmi di http://spbk.jkm.gov.my/spbk/login.jsp
- Klik butang Daftar Permohonan Atas Talian
- Klik butang Daftar Permohonan, pilih negeri dan masukkan nombor kad pengenalan
- Isi maklumat di ruangan A# Maklumat Pendapatan
- Isi maklumat di ruangan B# Maklumat Keperluan Bulanan
- Klik butang Keputusan dan sistem akan memaparkan Keputusan Saringan
- Sekiranya keputusan yang dipaparkan adalah Memenuhi Saringan Awal, klik butang Daftar Permohonan
- Isi maklumat pemohon dengan lengkap
- Pastikan pemohon tanda pada kotak Perakuan
- Klik butang Daftar
- Pemohon perlu hadir ke Pejabat Kebajikan Masyarakat dalam tempoh 14 hari mengikut daerah seperti dipohon dalam sistem
- Sistem akan membatalkan permohonan tersebut secara automatik sekiranya pemohon gagal hadir dalam tempoh tersebut
Dokumen Yang Diperlukan
Terdapat beberapa dokumen diperlukan seperti :
- Salinan MyKad pemohon
- Salinan MyKad ahli keluarga yang tinggal bersama
- Bagi kategori OKU, salinan Kad OKU atau slip pendaftaran sementara OKU diperlukan
- Salinan penyata pendapatan / surat akuan pendapatan
- Salah satu bil utiliti samada bil elektrik, air, telefon atau astro
- Laporan pegawai perubatan dari salah satu institusi perubatan samada hospital / klinik kesihatan kerajaan / swasta (bagi kes OKU tidak bekerja / terlantar / kronik / alat tiruan)
Selaras dengan keprihatinan kerajaan, skim bantuan ini akan diteruskan sebagai salah satu inisiatif yang menjadi pemangkin kehidupan pada masa hadapan. Biarpun terpaksa berhadapan dengan situasi yang agak sukar, namun rakyat masih boleh meneruskan kehidupan yang lebih baik tanpa bebanan. Pesakit juga boleh tinggal bersama – sama keluarga dan melalui hari – hari terindah bersama yang tersayang.