Kerajaan negeri Sabah telah memperkenalkan skim bantuan khusus untuk para usahawan mikro dan kotej Sabah yang terkesan dengan pandemik Covid-19. Bantuan ini bagi meringankan beban yang dihadapi oleh golongan sasar untuk meneruskan kehidupan dengan lebih baik. Sebanyak RM 300 akan diberikan secara sekaligus kepada usahawan mikro dan kotej yang layak. Sasaran utama adalah usahawan mikro dan kotej yang menghasilkan produk dengan pendapatan tahunan sebanyak RM 50,000.00 dan ke bawah.
Kriteria dan Syarat Permohonan
Kriteria dan syarat permohonan adalah seperti berikut :
- Terdiri dari usahawan mikro dan kotej luar bandar berskala kecil dengan jumlah jualan tahunan di bawah RM50,000
- Pemohon merupakan anak kelahiran Sabah, berwarganegara Malaysia dan menjalankan perniagaan di Sabah
- Khusus untuk usahawan mikro dan kotej yang sedang beroperasi dan menghasilkan produk sahaja
- Memiliki lesen perniagaan yang masih sah atau surat pengesahan daripada Ketua Kampung / Pengerusi JPKK / Pejabat Daerah bagi membuktikan sedang menjalankan perniagaan
- Pemohon perlu membuat permohonan secara dalam talian dengan melengkapkan borang permohonan Bantuan Prihatin Covid-19 2.0 2021
- Keutamaan diberikan kepada usahawan mikro dan kotej yang tidak pernah mendapat sebarang bantuan dari mana – mana Agensi, Jabatan atau Kementerian dan mereka yang belum pernah mendapat Bantuan IKS (BAIKS) serta Bantuan SND UMC 2020
- Bagi permohonan dari kategori perkhidmatan, kontraktor, profesional, penjaja, pelancongan, petani, penternak, nelayan serta ahli-ahli koperasi yang menggunakan lesen koperasi adalah tidak diterima dan tidak akan dipertimbangkan
- Permohonan akan ditolak sekiranya pemohon mengemukakan maklumat palsu
Dokumen Sokongan
Beberapa dokumen berikut perlu disertakan bersama semasa membuat permohonan :
- Salinan MyKad pemohon
- Salinan lesen perniagaan yang sah dan belum tamat tempoh
- Gambar pemilik bersama produk dan premis perniagaan
Tarikh Tutup
Permohonan boleh dibuat sebelum 15 Mac 2021
Kaedah Pembayaran
Sekiranya permohonan diluluskan oleh Jawatankuasa Bantuan Prihatin Covid-19 2.0, pembayaran akan dikreditkan terus ke akaun bank peribadi usahawan. Akaun bank tersebut mestilah masih aktif bagi tujuan pembayaran bantuan.
Senarai Akaun Bank Yang Tidak Diterima
Terdapat beberapa jenis akaun bank yang tidak diterima untuk tujuan pengkreditan bantuan iaitu seperti berikut :
- Tabung Haji
- ASB
- Bank Muamalat
- Akaun bersama
- Akaun Syarikat
- Akaun Sijil Simpanan Premium (SSP)
Sebarang keputusan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Bantuan Prihatin Covid-19 2.0 mikro dan kotej Sabah adalah muktamad dan rayuan adalah tidak dibenarkan. Pihak DIDR juga tidak pernah melantik sebarang wakil atau agen untuk menguruskan permohonan bantuan ini. Pemohon perlu membuat permohonan sendiri bagi mengelakkan sebarang penipuan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Segala data dan maklumat peribadi pemohon yang dikemukakan adalah untuk kegunaan pemprosesan permohonan sahaja.
Maklumat Lanjut
Pemohon boleh melayari laman web rasmi di didr.sabah.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan bantuan ini.