Baru – baru ini orang ramai dikejutkan dengan kadar bil elektrik yang melambung tinggi berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang tidak membolehkan bacaan meter sebenar diambil oleh para petugas Tenaga Nasional Berhad (TNB). Rata – rata mengeluh dan tidak berpuas hati dengan jumlah bil yang dikenakan sepanjang tempoh PKP dilaksanakan. Sebaik sahaja kaunter TNB mula beroperasi, orang ramai mula membanjiri kaunter – kaunter TNB untuk mendapatkan penjelasan. Biarpun telah diperjelaskan, namun terdapat sebilangan besar yang masih tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan.
Menyedari kesulitan ini, satu sidang media telah dibuat oleh Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Dato’ Dr Shamsul Anuar pada 20 Jun 2020 dan telah mengumumkan bahawa Tenaga Nasional Berhad akan memberi Bantuan Prihatin Elektrik (BPE) kepada para pengguna elektrik yang layak. Pihak TNB menyedari bahawa sepanjang tempoh PKP dilaksanakan, orang ramai lebih banyak berada di rumah dan berkemungkinan penggunaa elektrik adalah lebih tinggi dari biasa. Oleh itu, pihak kerajaan menerusi TNB memberikan bantuan ini sebagai tanda prihatin bagi mengurangi bebanan yang terpaksa dihadapi orang ramai.
Bantuan ini merupakan bantuan tambahan kepada diskaun bil elektrik yang telah pun dilaksanakan sejak 1 April 2020 dan diselaraskan pada bil elektrik bulan Julai 2020. Seramai 4 juta pengguna domestik akan menerima bantuan elektrik percuma mulai bulan April, Mei dan Jun 2020 bagi penggunaan elektrik 300kWj ke bawah atau dengan kadar bil sebanyak RM 77 ke bawah.
Kerajaan membiayai bantuan ini menerusi Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE), Kementerian Kewangan dan Tenaga Nasional Berhad (TNB). Bantuan ini diberikan dalam dua kaedah yang berbeza iaitu :
- Bil elektrik percuma sekiranya kadar bil sehingga RM 77 sebulan atau bersamaan penggunaan elektrik sehingga 300kWj pertama bagi tempoh 3 bulan pelaksanaan PKP
- Pengguna domestik akan menerima sebanyak 10% diskaun tambahan bagi penggunaan elektrik antara 601 – 900 kWj sebulan mulai bulan April 2020 hingga September 2020
Syarat – syarat Kelayakan
- Setiap pengguna elektrik domestik adalah layak menerima bantuan ini termasuklah pelanggan smart meter
- Tiada sebarang permohonan perlu dibuat dan bantuan ini akan diselaraskan semula di dalam bil bulan Julai 2020
- Sekiranya pembayaran telah dibuat bagi bulan April, Mei dan Jun, lebihan bayaran akan ditolak semula pada bil bulan Julai 2020
Bantuan Prihatin Elektrik ini diharap dapat meringankan bebanan pengguna yang terpaksa berhadapan dengan kadar bil elektrik yang tinggi. Bagi sektor komersial, pertanian dan perindustrian masih dapat menikmati diskaun tambahan seperti yang diumumkan oleh kerajaan semasa Pakej Rangsangan Ekonomi, namun terkecuali dari menerima BPE ini. Pihak TNB juga akan menghentikan aktiviti pemotongan elektrik sehingga 30 September 2020 bagi membantu pengguna yang terpaksa berhadapan dengan masalah kewangan.
Maklumat Lanjut
Sebarang maklumat lanjut boleh diperolehi melalui medium berikut :
- Laman web rasmi TNB di www.tnb.com.my/prihatin
- E-mel tnbcareline@tnb.com.my
- Talian TNB CareLine di talian 1-300-88-5454
- Cawangan Kedai Tenaga berhampiran
- Laman Facebook Rasmi TNB Careline