Penjawat awam negeri Selangor pastinya tersenyum lebar tatkala mendengar perkahabaran gembira ini. Pada tanggal 15 Mei 2020, kerajaan negeri Selangor telah mengumumkan akan memberi Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM 1,000 kepada semua kakitangan kerajaan negeri untuk gred 56 dan ke bawah. Ia akan mula dibayar pada 9 Jun 2020 dan pemberian bantuan ini diberikan secara one-off. Semasa sidang media perkembangan terkini Pakej Rangsangan Ekonomi Selangor Prihatin 2.0, Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor, telah membuat pengumuman tersebut di Kediaman Rasmi Menteri Besar Selangor, Shah Alam.
Kesemua kakitangan kakitangan awam negeri Selangor termasuklah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), badan berkanun negeri dan juga anak syarikat kerajaan negeri akan menerima bantuan RM 1000 ini. Walau bagaimana pun, Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri iaitu EXCO dan Ahli Dewan Negeri dikecualikan dari menerima bantuan ini. Pemberian bantuan ini adalah sebagai tanda terima kasih dan penghargaan kerajaan negeri kepada kakitangan yang telah bekerja tanpa mengenal erti penat termasuklah petugas barisan hadapan yang sentiasa berkhidmat selama 24 jam di Bilik Gerakan dan pusat kuarantin Covid-19. Sebanyak RM 18.5 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri Selangor bagi membuat pembayaran bantuan ini.
Pemberian bantuan ini turut dipanjangkan kepada Majlis Permuafakatan Kampung – Kampung (MPKK) di 371 buah kampung tradisi dengan pemberian bantuan sebanyak RM 300. Ia turut diberikan secara one-off kepada Setiausaha dan juga Ahli Jawatankuasa (AJK) yang membabitkan peruntukan sebanyak RM 1.335 juta. Turut tidak terkecuali adalah kakitangan masjid dan surau yang turut sama berganding bahu melaksanakan tugas masing – masing seperti mana yang telah diamanahkan.
Bagi kategori masjid pula, bantuan akan diberikan kepada dua (2) orang imam, dua (2) orang bilal, dua (2) orang siak dan seorang nazir dengan masing – masing akan menerima sebanyak RM 400 seorang. Anggaran peruntukan bagi membuat pembayaran bantuan ini adalah sebanyak RM 1.092 juta. Kategori surau juga tidak terkecuali akan menerima bantuan iaitu sebanyak RM 300 yang akan diberikan kepada pengerusi, seorang bilal, seorang siak dan juga dua (2) orang imam dengan peruntukan sebanyak RM 3.07 juta. Jumlah peruntukan keseluruhan bagi kategori masjid dan surau adalah sebanyak RM 4.171 juta dan ianya akan diberikan sebelum menjelangnya Aidilfitri.
Pemberian bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri Selangor kepada penjawat awam Selangor serta kategori yang terlibat selain sebagai satu penghargaan, ia juga dapat membantu mereka mendapatkan barangan keperluan harian untuk seisi keluarga.