Pada 11 Ogos 2019, satu siaran media mengenai pembayaran fasa ketiga Bantuan Sara Hidup 2019 telah diadakan oleh Menteri Kewangan Malaysia, YB Tuan Lim Guan Eng. Pembayaran fasa ketiga ini akan mula dilaksanakan mulai 28 Ogos 2019 dan melibatkan hampir 3.6 juta penerima. Peruntukan yang disediakan untuk agihan bantuan ini adalah sebanyak RM 1.23 bilion. Sebelum ini pembayaran fasa pertama dan kedua telah dilaksanakan pada bulan Januari dan Mei dengan anggaran sebanyak RM 2.85 bilion telah diberikan kepada isi rumah yang memenuhi syarat seperti yang ditetapkan. Peruntukan sebanyak RM 2.85 bilion ini juga termasuklah bayaran tambahan sebanyak RM 120 bagi setiap orang anak tanggungan dan ianya terhad kepada jumlah maksima sebanyak empat orang anak sahaja. Had umur anak tanggungan adalah 18 tahun dan ke bawah sahaja, namun bagi anak orang kurang upaya (OKU) adalah tanpa had umur ditetapkan.
Bantuan Sara Hidup ini antara inisiatif serta keprihatinan kerajaan terhadap nasib golongan B40 yang berpendapatan rendah. Ia bagi mengurangkan bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat di ketika ini. Ini menunjukkan bahawa kerajaan sangat mengambil berat tentang kesusahan golongan B40 yang terpaksa berhadapan dengan kesukaran demi meneruskan kehidupan. Tambahan pula bagi ibu bapa yang mempunyai bilangan anak yang masih bersekolah adalah agak ramai serta pendapatan yang tidak menentu adalah sangat menyukarkan. Kesukaran ini memungkinkan anak – anak kecil ini tercicir dari persekolahan kerana ibu bapa kurang berkemampuan untuk memberikan pendidikan yang sempurna kepada mereka. Juster, bantuan – bantuan seperti ini dilihat sebagai pemangkin bagi meneruskan kehidupan yang penuh pancaroba ini.
Pembayaran bantuan fasa 3 ini akan dibuat secara pengkreditan terus ke akaun bank penerima sepertimana maklumat akaun yang digunakan semasa pembayaran bantuan fasa kedua. Walau bagaimanapun, sekiranya penerima bantuan masih tidak mempunyai akaun bank, mereka perlu membawa surat kelulusan BSH 2019 ini ke mana – mana cawangan Bank Simpanan Nasional yang berdekatan bagi menerima wang bantuan tersebut tanpa perlu membuka akaun bank.
Bantuan Sara Hidup fasa 3 akan dibayar mulai 28 Ogos 2019 dengan kadar bayaran sebanyak RM 400 bagi isi rumah yang berpendapatan di bawah RM 2000, sebanyak RM 300 bagi isi rumah yang berpendapatan RM 2001 hingga RM 3000 dan sebanyak RM 100 bagi isi rumah yang berpendapatan RM 3001 hingga RM 4000. Jumlah keseluruhan bantuan yang diterima oleh isi rumah berpendapatan di bawah RM 2000 adalah sebanyak RM 1000 secara keseluruhan. Manakala bagi isi rumah yang berpendapatan RM 2001 hingga RM 3000 menerima sebanyak RM 750 secara keseluruhan dan yang berpendapatan RM 3001 hingga RM 4000 pula menerima bantuan sebanyak RM 500 secara keseluruhan yang dibayar dari fasa 1 hingga ke fasa 3.
Bagi yang gagal mendapatkan BSH 2019 ini, mereka boleh membuat rayuan mulai 1 Julai hingga 15 Ogos. Rayuan ini dibuka bagi membolehkan golongan sasar yang benar – benar layak sahaja akan menerima bantuan sepatutnya. Ini bagi mengelakkan golongan yang tidak layak mendapat bantuan yang diberikan oleh pihak kerajaan.. Sekiranya rayuan mereka diluluskan, pembayaran bantuan dijangka akan dibuat mulai September 2019. Sebarang maklumat lanjut mengenai BSH 2019 ini boleh diajukan kepada sekretariat BSH di talian bebas tol 1-800-8802747 atau boleh diajukan secara emel di bsh@treasury.gov.my.