BAYARAN GKP 2.0 BERMULA 30 NOVEMBER

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) telah menerima permohonan Geran Khas Prihatin 2.0 (GKP 2.0) lebih dari 512,000 pemilik Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan mikro. Jumlah permohonan ini adalah melebihi sasaran awal iaitu sebanyak 200,000. Walau bagaimana pun, jumlah permohonan yang lulus adalah sebanyak 304,000 dengan peruntukan sebanyak RM 912 juta berbanding GKP 1.0 iaitu lebih 545,000 PKS telah berjaya menerima manfaat dengan peruntukan sebanyak RM 1.63 bilion. Peruntukan bagi kedua – dua bantuan ini adalah sebanyak RM 2.55 bilion.

Keputusan permohonan Geran Khas Prihatin 2.0 (GKP 2.0) yang dibuka kepada orang ramai antara 1 hingga 10 Oktober 2020 yang lalu boleh disemak mulai 27 November 2020. Semakan kelulusan boleh dibuat melalui laman web rasmi di https://gkp.hasil.gov.my. Bayaran akan mula dikreditkan ke dalam akaun pemohon mulai 30 November 2020 dengan secara one-off sebanyak RM 3,000 kepada pemilik Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) mikro yang layak dan tidak menerima GKP 1.0 sebelum ini. Bantuan GKP 2.0 ini bagi membantu para pemilik PKS yang terkesan ekoran pandemik Covid-19 serta bagi meningkatkan produktiviti perkhidmatan dan pengeluaran bagi menjana kelangsungan ekonomi PKS mikro.

Setiap permohonan yang diterima oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan disemak secara semakan silang atau pengesahan data dari agensi kerajaan termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan juga Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi memastikan pemohon memenuhi syarat serta kriteria yang ditetapkan. Walau bagaimana pun, terdapat permohonan yang terpaksa ditolak kerana tidak memenuhi syarat iaitu seperti tidak memiliki lesen PBT atau tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia. Malah, PKS yang memiliki pekerja melebihi 4 orang juga antara punca kegagalan GKP 2.0 ini.

Siapa Yang Layak ?

  • Pemohon merupakan usahawan PKS yang belum pernah menerima GKP sebelum ini
  • Pemohon mesti memenuhi syarat kelayakan berikut :
  1. Warganegara Malaysia
  2. Masih aktif dalam dunia perniagaan
  3. Pendapatan tahunan kurang dari RM 300,000
  4. Pekerja sepenuh masa tidak lebih dari 4 orang dan tidak termasuk pemilik PKS
  5. Mesti berdaftar dengan LHDN sebelum atau pada 31 Ogos 2020
  6. Mesti berdaftar dengan PBT atau SSM sebelum atau pada 31 Ogos 2020

 

Maklumat Lanjut & Pertayaan

Sebarang maklumat lanjut berkenaan GKP 2.0 boleh diperolehi dengan menghubungi Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 atau 603-8911 1100 (luar negara), HASiL Live Chat, borang maklum balas di portal rasmi dan media sosial LHDNM.

 

Bantuan demi bantuan diberikan oleh pihak kerajaan bagi membantu golongan PKS yang terkesan dengan pandemik Covid-19. Berikutan penularan wabak ini, sudah tentu ramai yang terkesan dan tidak dapat menjana ekonomi seperti biasa. Namun, dengan adanya pelbagai insentif dan inisiatif dari kerajaan membolehkan golongan PKS meneruskan perniagaan masing – masing dan dapat memperkukuhkan semula ekonomi negara.