BSH RM100 untuk kategori bujang

 

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah membuat pengumuman bahawa setiap individu bujang yang berdaftar dalam pangkalan data Bantuan Sara Hidup 2018 akan menerima bantuan sebanyak RM 100 mulai hujung Mac ini. Terdahulu, keputusan Kabinet telah mengumumkan bahawa kategori individu bujang tidak akan menerima BSH mulai tahun 2019 kerana kerajaan lebih menumpukan perhatian terhadap penerima yang berkeluarga sahaja. Ia lebih menumpukan perhatian terhadap ketua keluarga dengan kadar tambahan bantuan mengikut bilangan anak di bawah tanggungan ketua keluarga. Namun, memandangkan kos sara hidup semakin meningkat, ia telah menarik perhatian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. Menurut Tun, kenaikan kos sara hidup adalah isu yang perlu diberi perhatian kerana ia melibatkan semua peringkat masyarakat termasuklah golongan bujang. Lantaran itu, Timbalan Presiden Pakatan Harapan YB Tan Sri Muhyiddin Yassin pula telah menyarankan supaya individu bujang yang bekerja serta berpendapatan kecil turut dibantu dengan memberi bantuan sara hidup seperti kategori keluarga. Oleh sebab itu, BSH diteruskan untuk golongan ini biarpun jumlah bantuan yang diberikan cuma RM 100 berbanding bantuan terdahulu yang dikenali sebagai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang memberi bantuan sebanyak RM 450 kepada kategori bujang. Pemberian bantuan ini akan menelan kos sebanyak RM 300 juta yang akan memberi manfaat kepada 3 juta individu bujang. Biarpun pihak kerajaan perlu menampung kos yang agak tinggi, namun demi memberi bantuan terhadap golongan bujang untuk berdepan dengan masalah kos sara hidup yang meningkat, maka ia bukanlah suatu isu yang perlu dipersoalkan. Apa yang penting adalah setiap individu bujang juga layak menerima bantuan seperti mana sebelum ini. Bantuan ini akan disalurkan terus ke dalam akaun bank para penerima yang berdaftar dan layak sahaja. Pembayaran BSH Bujang fasa pertama bermula pada penghujung Mac nanti, manakala pembayaran BSH untuk kategori lain bagi fasa kedua dan ketiga pula akan dibayar mulai bulan Mei dan Ogos nanti.  

 

Lim Guang Eng turut memaklumkan bahawa kadar bantuan BSH 2019 seterusnya untuk golongan bujang ini akan dikaji semula dan akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk dimuktamadkan. Pemberian ini dilihat sebagai memenuhi keperluan rakyat dan menunjukkan kerajaan hari ini turut menepati hasrat kerajaan yang prihatin serta berjiwa rakyat.Namun begitu, terdapat beberapa syarat yang perlu diambil kira sebelum penerima layak menerima bantuan. Antara individu yang tidak layak menerima bantuan ini adalah :

  1. Berpendapatan melebihi RM 4000 sebulan
  2. Tinggal dan menetap di luar negara
  3. Dokumen tidak lengkap semasa membuat permohonan
  4. Memiliki perniagaan sendiri atau perniagaan pemilikan tunggal
  5. Memiliki Pengkongsian Liabiliti Terhad (PLT)
  6. Merupakan pemegang saham / pengarah syarikat
  7. Memiliki kenderaan dalam negara melebihi 2,000 cc
  8. Memiliki kenderaan luar negara melebihi 1,400 cc
  9. Memiliki motosikal melebihi 500 cc
  10. Mempunyai transaksi milikan hartanah melebihi RM 500,000

 

Kenyataan rasmi dari pihak LHDN belum dikeluarkan, samada pemohon perlu mengemaskini permohonan sebelum ini atau sebaliknya. Bagi anda yang inginkan maklumat lanjut berkenaan bantuan ini, anda boleh menghubungi pihak sekretariat di talian bebas tol iaitu 1-800-88-2747 atau emelkan pertanyaan anda ke bsh@treasury.gov.my.