Cara Mendaftar dan Permohonan Rumah Mampu Milik B40 Wilayah Persekutuan

Residensi Prihatin : Cara Mendaftar dan Permohonan Rumah Mampu Milik B40 Wilayah Persekutuan

Residensi Prihatin merupakan inisiatif baharu yang telah dilancarkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan bagi membantu golongan berpendapatan rendah serta sederhana B40 yang menetap di Wilayah Persekutuan untuk memiliki rumah pertama dengan harga mampu milik. Program ini melibatkan tiga kawasan Wilayah Persekutuan iaitu Putrajaya, Kuala Lumpur dan juga Labuan. 

Kerajaan juga telah mensasarkan untuk membina sebanyak 10,000 buah rumah Residensi Prihatin di Wilayah Persekutuan dalam tempoh 3 tahun bermula dari tahun 2021 hingga 2024. Program ini antara pelengkap kepada program sedia ada yang diperkenalkan oleh kerajaan dalam usaha membantu golongan yang kurang berkemampuan memiliki rumah pertama yang selesa dan mampu milik.

 

Senarai Projek Residensi Prihatin

Terdapat dua buah projek Residensi Prihatin yang dilancarkan pada masa ini iaitu :

  • Residensi Prihatin Kenanga di Putrajaya
  • Residensi PrihatinMelur di Putrajaya

 

Walau bagaimana pun, lokasi projek Residensi Prihatin pada masa akan datang akan dikemaskini dan diumumkan di dalam portal Residensi Prihatin. Pemohon boleh membuat semakan dari masa ke semasa untuk mengetahui lokasi projek terkini.

 

Harga & Saiz Rumah Residensi Prihatin

  • Rumah Residensi Prihatin ditawarkan dengan harga RM 200,000 seunit dengan keluasan bersaiz minima 750 kaki persegi
  • Saiz rumah merangkumi 3 buah bilik tidur, 2 buah bilik air, ruang tamu, ruang makan dan dapur
  • Setiap rumah dilengkapi dengan kemudahan tempat letak kereta berbumbung

 

Syarat Kelayakan 

Pemohon yang ingin memiliki rumah Residensi Prihatin ini perlu memenuhi syarat kelayakan berikut :

  1. Merupakan warganegara Malaysia 
  2. Berumur 18 tahun dan ke atas
  3. Keutamaan diberikan kepada pemohon kelahiran Wilayah Persekutuan / yang menetap atau bekerja di Wilayah Persekutuan
  4. Sekatan penjualan (moratorium) rumah adalah selama 10 tahun
  5. Pendapatan kasar isi rumah pemohon tidak melebihi RM5,000 sebulan
  6. Permohonan adalah untuk rumah pertama sahaja
  7. Pemohon perlu berdaftar di Portal Residensi Prihatin
  8. Pemohon tidak boleh memohon rumah Residensi Prihatin sekiranya pernah memohon rumah projek Residensi Wilayah (di kenali RUMAWIP)

 

Cara Pendaftaran & Permohonan 

Cara untuk membuat permohonan adalah seperti berikut :

  1. Layari portal rasmi Residensi Prihatin di https://residensiprihatin.kwp.gov.my/
  2. Tekan butang Daftar Minat
  3. Kemudian, tekan butang Saya Layak
  4. Masukkan maklumat dan profil peribadi dengan lengkap
  5. Pilih projek yang bersesuaian
  6. Muat turun surat akuan sumpah dan tandatangan di hadapan Pesuruhjaya Sumpah
  7. Muat naik dokumen permohonan dalam sistem
  8. Sahkan profil dan dokumen sokongan tersebut

 

Dokumen Sokongan 

Pemohon perlu memuat naik dokumen sokongan berikut ke dalam portal bagi melengkapkan permohonan.

  1. Surat Akuan Sumpah pemohon
  2. Salinan (MyKad) dan Sijil Kelahiran pemohon bagi Projek Bumiputera Lot / Tanah Rizab Melayu sahaja
  3. Penyata gaji terkini pemohon untuk 3 bulan atau penyata bank terkini untuk 3 bulan bagi pemohon yang tiada slip gaji atau tidak bekerja
  4. Penyata KWSP terkini pemohon dan sejarah pengeluaran (wajib jika gaji pemohon tiada potongan KWSP atau Penyata Cukai Pendapatan Pemohon bagi permohonan yang tiada KWSP
  5. Surat pengesahan majikan terkini pemohon atau Sijil Pendaftaran Syarikat bagi yang bekerja sendiri (sekiranya mempunyai syarikat)
  6. Bil elektrik terkini dan bil air tempat tinggal atau dokumen lain sebagai bukti alamat kediaman
  7. Salinan kad OKU pemohon (sekiranya berkaitan)
  8. Salinan geran / salinan Perjanjian Jual Beli (S&P) harta yang dimiliki (pemohon dan atau pasangan) (sekiranya berkaitan)

 

Dokumen Sokongan Pasangan

  1. Penyata KWSP terkini pasangan beserta sejarah pengeluaran atau Penyata Cukai Pendapatan bagi permohonan yang tiada KWSP
  2. Penyata gaji pasangan untuk 3 bulan terkini atau penyata bank 3 bulan terkini bagi pasangan yang tiada slip gaji atau tidak bekerja
  3. Salinan (MyKad) atau passport pasangan
  4. Surat pengesahan majikan terkini pasangan atau Surat Akuan Sumpah suami / isteri sekiranya tidak bekerja atau Sijil Pendaftaran Syarikat bagi yang bekerja sendiri (jika mempunyai syarikat)
  5. Sijil kelahiran / MyKid anak
  6. Salinan Kad OKU pasangan / anak (sekiranya berkaitan).
  7. Salinan Sijil Nikah / Sijil Perkahwinan / Surat Cerai / Sijil Kematian
  8. Salinan Perjanjian Jual Beli Tanah yang dimiliki pasangan / geran (sekiranya berkaitan)

 

Dokumen Sokongan Penama Kedua (selain pasangan)

  1. Salinan Surat Kelahiran pemohon dan penama kedua (bagi ibu / bapa / adik beradik)
  2. Salinan Surat Kelahiran Penama Kedua
  3. Salinan Kad Pengenalan Penama Kedua
  4. Penyata gaji penama kedua untuk 3 bulan terkini atau penyata bank 3 bulan terkini bagi penama kedua yang tiada slip gaji atau tidak bekerja

 

Maklumat Lanjut & Pertanyaan

Pemohon boleh menghubungi talian 03-8889 7640 atau emelkan kepada urusetiaresidensiprihatin@kwp.gov.my sekiranya mempunya sebarang pertanyaan atau memerlukan maklumat lanjut. Pemohon juga boleh merujuk laman web rasmi di https://residensiprihatin.kwp.gov.my/