Cara mohon eBantuan JKM online

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merupakan salah satu Jabatan / Agensi yang bertanggungjawab menyediakan bantuan kewangan buat kumpulan sasar yang di dalam kesusahan. Bantuan yang diberikan dapat meringankan bebanan hidup yang terpaksa dihadapi dalam situasi yang sukar. Jika dahulu permohonan bantuan JKM perlu dibuat menggunakan borang secara manual, namun kini permohonan bantuan boleh dibuat secara online menggunakan sistem eBantuan Kebajikan Masyarakat yang lebih mudah serta efisien.

 

Jenis – Jenis Bantuan

Bantuan yang disediakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat adalah seperti berikut : 

  • Bantuan Kanak – Kanak (BKK) sebanyak RM 100 minima seorang dan maksimum RM 450 untuk kanak – kanak lebih 4 orang (sebulan)
  • Elaun Pekerja Cacat (EPC) sebanyak RM 400 sebulan
  • Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB) sebanyak RM 250 sebulan
  • Bantuan Penjagaan OKU Terlantar / Pesakit Kronik Terlantar (BPT) sebanyak RM 350 sebulan
  • Bantuan Orang Tua (BOT) RM 350 seorang (sebulan)
  • Bantuan Am Persekutuan (BA) sebanyak RM 100 seorang dan maksimum RM 350 (sebulan) untuk sekeluarga
  • Bantuan Anak Pelihara (BAP) sebanyak RM 250 seorang kanak – kanak dan maksimum RM 500 (sebulan) untuk sekeluarga 
  • Bantuan Latihan Perantis (BLP) sebanyak RM 200 seorang (sebulan)
  • Bantuan Geran Pelancaran (GP)
  • Bantuan Alat Tiruan / Alat Sokongan (BAT)
  • Tabung Bantuan Segera (TBS)

 

Cara Memohon

Anda boleh membuat pendaftaran secara online menggunakan borang permohonan yang terdapat di dalam sistem eJKM. Cara membuat permohonan adalah seperti berikut :

  • Layari sistem eJKM di http://ebantuanjkm.jkm.gov.my/
  • Klik butang Daftar Permohonan Atas Talian dan klik butang Daftar Permohonan
  • Pilih Negeri dan masukkan nombor kad pengenalan baru. 
  • Klik butang Daftar
  • Masukkan maklumat yang diperlukan dengan lengkap dan pendaftaran akaun anda telah selesai 
  • Muat turun borang Permohonan Bantuan JKM 18 di http://www.jkm.gov.my/jkm/uploads/files/bahagian_pw/borang_permohonan_jkm_18.pdf dan muat turun Borang Kemaskinni Maklumat JKM 20 di http://www.jkm.gov.my/jkm/uploads/files/bahagian_pw/jkm20_2016.pdf
  • Bawa borang permohonan dan borang kemaskini maklumat ke Pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat mengikut daerah seperti mana yang telah dipohon dalam sistem dalam tempoh 14 hari dari tarikh permohonan dalam talian dibuat.
  • Kegagalan hadir ke Pejabat JKM daerah dalam tempoh 14 hari boleh menyebabkan sistem membatalkan permohonan dalam talian secara automatik

 

Dokumen Sokongan Yang Diperlukan 

  1. Salinan MyKad atau kad pengenalan pemohon
  2. Salinan MyKad atau kad pengenalan ahli keluarga yang tinggal bersama  
  3. Salinan Kad OKU atau slip pendaftaran sementara OKU (sekiranya pemohon seorang OKU)
  4. Salinan slip gaji / penyata pendapatan / surat akuan pendapatan (sekiranya bekerja sendiri)
  5. Salah satu bil utiliti samada bil air / elektrik / telefon / Astro
  6. Laporan perubatan dari hospital atau klinik kesihatan kerajaan / swasta (sekiranya OKU sedang terlantar sakit / kronik / alat tiruan / tidak bekerja 

 

Cara Membuat Semakan

Setelah anda membuat permohonan dan menyerahkan semua dokumen yang diperlukan, anda boleh membuat semakan status permohonan secara atas talian sahaja. Cara untuk membuat semakan adalah seperti berikut :

  • Layari sistem eJKM di http://ebantuanjkm.jkm.gov.my/
  • Klik butang Semakan Status Permohonan Atas Talian
  • Masukkan nombor kad pengenalan pemohon dan tekan butang Semak
  • Status permohonan anda akan dipaparkan sebaik sahaja butang Semak ditekan
  • Status permohonan yang dipaparkan adalah berdasarkan bantuan yang telah dipohon atau yang telah diterima oleh pihak JKM sahaja

 

Maklumat Lanjut

Sebarang maklumat lanjut berkenaan bantuan JKM boleh diperolehi dengan menghubungi Pusat Kebajikan Masyarakat / Daerah / Bahagian / Jajahan di mana permohonan bantuan telah dibuat atau boleh hubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat  di alamat berikut :

Jabatan Kebajikan Masyarakat
Aras 6, 9-18
No 55, Persiaran Perdana,
Presint 4,
62100 Putrajaya

Nombor Telefon : 03-8000 8000

Nombor Faks : 03-8323 2045