Cara Mohon i-SURI

Malaysia mempunyai sebuah institusi yang bertanggungjawab terhadap dana simpanan persaraan yang dikenali sebagai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Ia menyediakan kemudahan jaminan asas kewangan bagi persaraan dan sangat komited dalam menguruskan simpanan ahli KWSP. Pihak pengurusan KWSP sentiasa fokus kepada pelanggan dan sentiasa menyediakan kemudahan terbaik buat para ahli serta majikan yang mendaftar.

 

Caruman Sukarela Insentif merupakan salah satu caruman yang diperkenalkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) khas buat suri rumah, balu dan juga ibu tunggal. Ianya dikenali sebagai Insentif Suri Rumah (i-SURI). Mereka yang layak boleh mendaftar sebagai ahli KWSP seterusnya menyertai i-SURI dengan hanya mengunjungi salah satu cawangan pejabat KWSP di seluruh negara dan pendaftaran boleh dibuat mulai 15 Ogos 2018.

 

Syarat Permohonan i-SURI KWSP

  1. Suri rumah yang telah berdaftar dalam sistem e-Kasih sehingga 30 Jun 2018 dan ianya termasuklah isteri (Ketua Isi Rumah) dan Ketua Isi Rumah (balu, cerai atau bujang)
  2. Merupakan warganegara Malaysia
  3. Umur tidak melebihi 60 tahun
  4. Mencarum sebanyak RM 60 setahun atau sekurang – kurangnya sebanyak RM 5 sebulan
  5. Sekiranya pemohon belum berdaftar dalam sistem e-Kasih, permohonan untuk i-SURI adalah tidak dibenarkan dan perlu mendaftar dalam sistem e-Kasih terlebih dahulu
  6. Permohonan i-SURI boleh dilakukan setelah pemohon berjaya mendaftar dalam sistem e-Kasih
  7. Setiap pemohon hanya dibenarkan memilih salah satu insentif sahaja dan sekiranya pemohon telah mendaftar skim Insentif Persaraan (i-Saraan), pemohon perlu membatalkan skim tersebut sebelum membuat permohonan bagi i-SURI

 

Cara Membuat Permohonan

Pemohon perlu datang sendiri ke cawangan pejabat KWSP yang berhampiran untuk membuat permohonan dan perlu berurusan di kaunter KWSP.

 

Dokumen Yang Diperlukan

  • Kad pengenalan pemohon
  • Borang KWSP 16G (M) untuk pendaftaran kali pertama 
  • Borang KWSP 6A (2) semasa membuat pembayaran

 

Kelebihan i-SURI

    • Pada peringkat awal i-SURI diperkenalkan (2018), kerajaan telah membuat sumbangan sebanyak RM 200 kepada ahli i-SURI 
    • Pada tahun berikutnya peserta i-SURI adalah layak menerima sumbangan dari kerajaan sebanyak RM 40 sebulan atau sehingga RM 480 setahun dengan syarat caruman bulanan suri rumah adalah minima RM 5 sebulan
    • Insentif kerajaan akan dimasukkan terus ke akaun KWSP setiap bulan
    • Ahli i-SURI adalah layak menikmati manfaat sama seperti ahli KWSP yang lain seperti dividen simpanan, pengeluaran bagi umur 50, 55 dan 60 tahun, bantuan hilang upaya dan juga bantuan kematian

 

  • Mendapat pelepasan cukai tertakluk kepada syarat yang ditetapkan

 

 

Cara Pembayaran Caruman

Ahli i-SURI boleh membuat pembayaran caruman setiap bulan melalui salah satu cara berikut:

  1. Pembayaran secara tunai atau cek di cawangan kaunter KWSP
  2. Pembayaran secara tunai atau cek di panel bank KWSP seperti Maybank, Public Bank, Bank Simpanan Nasional dan RHB
  3. Pembayaran secara perbankan internet 

 

Fasa i-SURI

Pelaksanaan i-SURI merangkumi 3 fasa iaitu :

  • Fasa Pertama : Pada tahun 2018, kerajaan memberi sumbangan sebanyak RM 40 sebulan bagi setiap caruman sukarela yang dibuat setiap bulan dengan kadar minima RM 5 sebulan
  • Fasa Kedua : Pada tahun 2019 pula, kerajaan telah menaikkan kadar sumbangan iaitu sebanyak RM 50 sebulan di mana sebanyak RM 10 akan disumbangkan kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)
  • Fasa Ketiga : Pada tahun 2020, sebanyak 2 peratus sumbangan KWSP suami akan dimasukkan ke akaun isteri

 

KWSP sentiasa proaktif sebagai institusi yang bertanggungjawab pemangkin kepada pembangunan ekonomi negara, selaras dengan peranannya sebagai sebuah institusi simpanan terkemuka di Malaysia. Skim i-SURi yang diperkenalkan adalah bertujuan untuk menggalakkan rakyat Malaysia membuat simpanan setiap bulan dengan kadar minima bagi kegunaan masa hadapan. 

 

Maklumat Lanjut

Sebarang maklumat lanjut boleh diperolehi melalui Pusat Panggilan Kerajaan Malaysia di talian 03-8000 8000, Pusat Pengurusan Perhubungan di talian 03-8922 6000, laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau kunjungi cawangan pejabat KWSP di seluruh negara.