Dr M : Potong 10% Daripada gaji pendapatan tinggi untuk menolong orang miskin Covid-19

Tun Dr Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri Malaysia telah mengusulkan agar pekerja yang berpendapatan tinggi samada di sektor awam mahupun swasta harus melepaskan 10 peratus daripada gaji bulanan mereka bagi membantu golongan miskin semasa wabak Covid-19 ini melanda. Beliau berpendapat bahawa wang tersebut harus digunakan bagi menyediakan makanan untuk golongan miskin, penganggur serta yang tiada pendapatan. 

Saranan bekas Perdana Menteri ini berikutan pandemik Covid-19 yang banyak memberi kesan kepada golongan miskin. Ramai yang telah kehilangan pekerjaan dan peniaga – peniaga kecil juga turut terkesan. Golongan peniaga juga tidak mempunyai pendapatan sama sekali kerana pendapatan mereka bergantung kepada urusniaga harian. Sekiranya perniagaan mereka terjejas, maka tiadalah wang untuk membeli makanan dan mengakibatkan mereka kelaparan seisi keluarga.

Menurut penulisan Tun Dr Mahathi Mohamad dalam blognya di http://chedet.cc, beliau melihat kepada situasi mereka yang bergaji tinggi akan terus memperoleh pendapatan yang melebihi keperluan mereka. Sudah tentu, mereka yang pernah mendapat pendapatan bulanan yang tinggi seperti kakitangan syarikat penerbangan dan eksekutif perniagaan juga berkemungkinan kehilangan pekerjaan mereka. 

Oleh sebab itu, beliau mencadangkan agar 10 peratus pendapatan golongan ini dipotong bagi membantu golongan yang terjejas terutamanya golongan miskin dan tiada pendapatan. Beliau menganggap cadangan yang diusulkan ini sebagai satu pengorbanan yang tidak merugikan, malah memberi kesan positif kepada golongan yang dibantu. Beliau juga berharap cadangannya ini dimodifikasi agar menjadi lebih realistik dan lebih ramai ahli politik dapat sama – sama menyokongnya.

Beliau juga berpendapat bahawa biarpun keadaan ekonomi negara hari ini memerlukan lebih banyak wang dibelanjakan oleh kerajaan, namun, pandemik ini juga turut mempengaruhi pendapatan kerajaan. Berdasarkan pembentangan Belanjawan 2021 yang diadakan pada Jumaat lalu, 9 November 2020, Tun Dr Mahathir berpendapat jangkaan pemulihan ekonomi negara yang dibentangkan adalah terlalu optimis. Semasa pembentangan Belanjawan 2021, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz  telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM 322.5 bilion iaitu yang tertinggi dalam sejarah negara bagi menghadapi pelbagai cabaran akibat pandemik Covid-19  ini.