Datuk Patinggi (Dr) Abang Haji Abdul Rahman Zohari Bin Tun Datuk Abang Haji Openg, Ketua Menteri Sarawak telah mengumumkan program Endownment Fund Sarawak (EFS) semasa ucapan Belanjawan Negeri 2019 yang lalu. Bagi menjayakan program ini, kerajaan negeri telah memperuntukkan sebanyak RM 42 juta setahun untuk anak Sarawak. Program ini merupakan salah satu dasar sosial baharu yang diperkenalkan oleh kerajaan Sarawak dalam pembangunan sosio-ekonomi negeri Sarawak. Malah, ia juga dijangka dapat memenuhi keperluan pasaran dari sudut digital ekonomi negeri tersebut.
Selaras dengan hasrat kerajaan iaitu “Giving Back To The Rakyat”, EFS ini merupakan sebahagian hasil dari pelaksanaan cukai ke atas produk petroleum yang ingin dikongsi bersama rakyat negeri Sarawak.
Kelebihan EFS
- Dapat mengurangkan bebanan ibu bapa bagi menampung kos pembelajaran anak melanjutkan pengajian di institute pengajian tinggi setelah menjangkau umur 18 tahun
- Ibu bapa atau waris anak boleh mengeluarkan EFS bagi urusan pengurusan jenazah sekiranya anak tersebut meninggal dunia sebelum mencapai umur 18 tahun dengan mengemukakan sijil kematian asal ke Bank Islam
- Setiap anak Sarawak yang dilahirkan akan menerima sumbangan sebanyak RM 1,000 dan hanya boleh dikeluarkan setelah mencapai umur 18 tahun bagi tujuan pendidikan atau sebagai capital grant bagi memulakan kerjaya
Syarat Kelayakan
- Mestilah merupakan warganegara Malaysia
- Lahir samada di Sarawak atau di luar Sarawak
- Salah seorang atau kedua ibu bapa merupakan pemegang kad pengenalan Sarawak dengan status “K”
- Pendaftaran semasa kelahiran
Kategori Anak Angkat
- Salah seorang atau kedua ibu bapa merupakan pemegang kad pengenalan Sarawak dengan status “K”
- Memiliki Sijil Pengangkatan Anak yang sah
Cara Pendaftaran EFS
- Pendaftaran boleh dibuat di semua cawangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan mengisi borang EFS yang disediakan semasa mendaftar kelahiran anak atau muat turun melalui portal rasmi Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak
- Borang yang telah lengkap diisi perlu diserahkan ke cawangan JPN Negeri Sarawak
- Bagi negeri-negeri lain, permohonan boleh dibuat dengan menghantar borang permohonan dan dokumen sokongan ke:
Ketua Bahagian Kelahiran, Kematian & Anak Angkat
Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Sarawak
Tkt 2, Bangunan Tun Datuk Patinggi Tuanku Haji Bujang
Jalan Simpang Tiga, 93551 Kuching, Sarawak - Pihak JPN akan menghantar borang permohonan yang lengkap ke cawangan Bank Islam setiap dua minggu
- Bank Islam pula akan memproses pendaftaran EFS sebaik sahaja menerima borang permohonan
- Pihak bank akan memaklumkan pendaftaran permohonan ke alamat yang telah didaftarkan
- Sijil asal EPS boleh dituntut di Bank Islam seperti yang dimaklumkan dalam surat pemakluman
- Setelah penerima berumur genap 18 tahun, EFS boleh dikeluarkan dengan hanya mengemukakan MyKad di kaunter Bank Islam yang berkenaan
Dokumen Sokongan
Permohonan mestilah disertakan dengan dokumen sokongan seperti berikut :
- Kad Pengenalan Ibu Bapa
- Sijil Lahir Bayi / MyKid
Sekiranya bayi dilahirkan di luar negara, ibu bapa perlu mendaftar kelahiran di Pejabat Kedutaan Malaysia bagi mengesahkan ibu bapa bayi memilih kewarganegaraan Malaysia. Ibu bapa hanya boleh mendaftar EFS anak setelah membuat pendaftaran kelahiran bayi tersebut. Bagi membuat pengeluaran EFS setelah mencapai umur 18 tahun, hanya kad pengenalan perlu dikemukakan di kaunter Bank Islam. EFS yang diuruskan Bank Islam adalah berdasarkan terma dan syarat yang telah dipersetujui oleh kedua institusi kewangan dan juga kerajaan negeri Sarawak. Jabatan Pendaftaran Negara mula mengeluarkan borang pendaftaran EFS mulai 1 Mac 2019.
Maklumat Lanjut
Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan atau inginkan maklumat lanjut, sila hubungi Urus Setia Endowment Fund Sarawak (EFS) di talian 082-311340/082-311718.
Setiap anak yang lahir mulai 1 Januari 2019 adalah layak didaftarkan di bawah EFS. Skim ini diuruskan oleh Bank Islam dengan kadar faedah sebanyak 4.2 peratus. Insentif ini diberikan kepada anak Sarawak yang baru lahir tanpa mengira agama, etnik serta status sosial.