Pada masa ini, pendapatan isi rumah di Malaysia dilihat menunjukkan jurang yang begitu besar antara golongan berpendapatan tinggi dan juga berpendapatan rendah di mana sekurang – kurangnya 89 peratus dari populasi pekerja masih berpendapatan di bawah RM 5,000 sebulan, manakala lebih separuh berpendapatan kurang dari AS $ 12,236 setahun yang menjadi penanda aras negara berpendapatan tinggi. Analisa ini dibuat oleh Dr Ahmed Razman Abdul Latiff yang merupakan penganalisa ekonomi Universiti Putra Malaysia. Menurut beliau, tumpuan harus diberikan kepada golongan yang menetap di bandar kerana purata perbelanjaan isi rumah di bandar adalah sebanyak RM3,200 adalah melebihi purata pendapatan isi rumah (median RM3,000), apatah lagi majoriti perbelanjaan adalah untuk makanan dan kenaikan harga sejak kebelakangan ini memberi tekanan kepada golongan berkenaan.
Rakyat Malaysia kebanyakannya berpendapat bahawa pihak kerajaan perlu meneruskan pelbagai bantuan buat golongan berpendapatan rendah serta sederhana bagi menangani kos sara hidup yang semakin meningkat. Bantuan – bantuan yang disalurkan oleh pihak kerajaan sekurang – kurangnya dapat membantu meringankan beban kehidupan seharian mereka. Pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia oleh kerajaan terdahulu kini diteruskan lagi oleh kerajaan sekarang yang kini dikenali dengan Bantuan Sara Hidup yang kedengaran lebih sinonim dengan kehidupan rakyat. Bantuan ini diteruskan memandangkan kos kehidupan yang semakin tinggi serta tidak menentu terutamanya bagi rakyat yang tinggal di kawasan bandar. Biarpun berpendapatan sekurangnya – kurangnya RM 3,000, bagi golongan yang sudah berkeluarga dan tinggal di kawasan bandar, pendapatan sedemikian sudah pasti tidak dapat menampung keperluan sebuah keluarga. Oleh yang demikian, peranan kerajaan masa kini dalam meneruskan pemberian bantuan adalah sangat membantu golongan sedemikian.
Setiap tahun, bantuan akan disalurkan kepada mereka yang benar – benar layak menerima. Bantuan Sara Hidup yang diberikan mulai tahun 2018 akan dikaji semula syarat penerima agar ia diberikan kepada golongan yang berkelayakan sahaja. Ini kerana bantuan terdahulu (BR1M) yang diterima oleh rakyat dilihat seakan tidak adil apabila ada golongan yang tidak layak turut menerima bantuan tersebut. Pemberian secara berperingkat sekurang – kurangnya dapat membantu golongan tersebut membeli barangan keperluan secara berhemah dan tidak membeli mengikut kehendak tetapi mengutamakan keperluan terlebih dahulu. Selain itu juga, bantuan yang diberikan perlulah digunakan sebaik mungkin supaya tidak disalahgunakan untuk tujuan selain barang keperluan.
Peningkatan kos sara hidup yang semakin meningkat saban tahun sememangnya cukup memeningkan golongan berpendapatan rendah serta sederhana, namun dengan adanya Bantuan Sara Hidup yang diperkenalkan kerajaan, sekurang – kuranganya dapat membantu serta menaik taraf kehidupan masing – masing ke arah yang lebih baik dan positif. Penerima bantuan seharusnya semakin berkurangan dan bukannya semakin bertambah kerana bantuan – bantuan yang diberikan akan menyebabkan pertumbuhan ekonomi di dalam sesebuah keluarga dan masyarakat.