Kerajaan hari ini telah memperkenalkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) berikutan pandemic Covid-19 yang melanda di mana ia turut menjejaskan pendapatan ekonomi negara. Bagi merancakkan semula ekonomi, pelbagai skim bantuan telah diperkenalkan melalui PENJANA dan salah satu sektor yang turut diberi perhatian adalah sektor seni, budaya, hiburan dan industri penganjuran dengan peruntukan sebanyak RM 225 juta. Geran yang diperkenalkan adalah Geran Pemasaran dan Promosi Digital (GPPD) Penjana yang akan memberi nilai tambah dalam industri kreatif tempatan.
Geran Pemasaran dan Promosi Digital (GPPD) ini diperkenalkan bagi membantu para penggiat industri kreatif dalam pemasaran barangan / perkhidmatan / bakat mereka di atas talian, melalui aplikasi, paparan iklan dan pengantara digital yang lain seperti Media Prima Digital, Astro atau mana-mana platform digital yang boleh diterima pakai oleh MyCV seperti berikut Facebook, Instagram, Google, Tik Tok, Snapchat, Twitter, YouTube, LinkedIn, Pinterest dan pelbagai platform pengiklanan lain yang boleh digunakan.
Bantuan ini dapat memanfaatkan penerbit produksi membina semula pendapatan syarikat memandangkan tiada sebarang aktiviti shooting dibenarkan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Selain drama dan filem, dana yang disediakan turut merangkumi industri pengiklanan dan juga muzik. Para penggiat seni boleh mula menggerakkan industri seni seperti biasa namun masih perlu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.
MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCreative) telah dipertanggungjawabkan melaksana pelbagai langkah untuk menambah nilai pada industri kreatif tempatan, menjamin masa depan industri kreatif dan juga memastikan suara industri ini mendapat perhatian kerajaan. Ia juga berperanan membantu perniagaan dan penggiat industri kreatif beralih ke landskap digital agar lebih relevan dan berdaya saing dalam era norma baru.
Jumlah Peruntukan Dana
Sebanyak RM30 juta geran diperuntukkan untuk industri kreatif, acara dan pameran di bawah seliaan MyCreatives Ventures, RM 10 juta di bawah CENDANA dan sebanyak RM 100 juta berbentuk pinjaman turut disediakan oleh kerajaan dengan kadar faedah serendah 3.5 peratus.
Peruntukan dana yang disediakan adalah terhad dan akan diberikan dalam bentuk baucar sahaja. Dana ini dapat memberi manfaat kepada sehingga 2,000 pemohon bagi tujuan pemasaran digital.
Pecahan dana adalah terbahagi kepada :
- Baucar bernilai RM 10,000 untuk pemasaran serta promosi di bawah pakej Media Prima Digital
- Baucar bernilai RM 12,000 untuk pemasaran serta promosi di bawah pakej Astro
- Pembayaran balik bagi aktiviti pemasaran serta promosi yang menggunakan platform digital dengan kadar tuntutan maksimum sebanyak RM3,000
Syarat dan Kriteria Kelayakan Permohonan
- Mestilah berumur 16 tahun dan ke atas
- Merupakan warganegara Malaysia
- Merupakan penggiat seni persembahan, seni visual, penulis manuskrip, pemuzik, , artis seni kulinari, artis seni tradisional, penjahit, pereka seni dan pengiat-pengiat industri seni lain yang terlibat tetapi tidak terhad di dalam salah satu daripada sepuluh (10) bidang kreatif berikut:
- Seni Kulinari
- Seni Visual
- Seni Persembahan
- Muzik
- Sastera
- Kandungan Kreatif
- Fesyen
- Seni Tradisional dan Kebudayaan
- Rekaan
- Pendidikan Kreatif
- Berpengalaman sekurang – kurangnya 6 bulan dalam pembangunan kerja kreatif sama ada sebagai penyedia perkhidmatan luar atau penciptaan karya kreatif yang asli dan;
- Pemohon mestilah memiliki produk / perkhidmatan / bakat yang tersedia untuk pengkomersialan selanjutnya.
Kriteria Pemohon Berikut Tidak Layak Memohon
- Bukan warganegara Malaysia serta perniagaan dimiliki oleh warga asing
- Tidak dapat membuktikan hasil karya / hasil kerja adalah asli
- Terlibat dalam perniagaan terlarang atau terhad seperti minuman keras, rokok seludup, barangan palsu / tiruan serta bahan yang berunsur seksual dan / atau politik
- Agensi berkaitan kerajaan
- Mempunyai laporan penilaian yang masih belum lengkap berkaitan program pembiayaan yang pernah diterima daripada MyCreative Ventures Sdn Bhd atau CENDANA ( mungkin boleh memohon setelah melengkapkan sebarang laporan seperti dinyatakan)
Tempoh Permohonan
Permohonan dibuka mulai Julai 2020 sehingga keseluruhan dana diguna pakai
Cara Membuat Permohonan
- Layari laman web rasmi MyCreative Ventures di www.mycreative.com.my
- Lengkapkan Borang Permohonan dan lengkapkan maklumat seperti :
- Profil Pemohon – maklumat peribadi, syarikat, persatuan dan / atau pertubuhan
- Rekod portfolio – rekod prestasi semasa yang mencukupi
- Rancangan Pemasaran Digital
- Keputusan permohonan akan dimaklumkan melalui emel dalam tempoh 2 minggu sekiranya permohonan lengkap telah dihantar
- Permohonan yang tidak lengkap akan ditolak. Walau bagaimana pun, pemohon akan dimaklumkan melalui emel sekiranya permohonan perlu dilengkapkan sebelum diproses semula
Maklumat Lanjut
Pemohon boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari laman web http://www.mycreative.com.my/ atau menghantar emel kepada mycreativedmg@mycreative.com.my untuk mengajukan soalan atau membuat sebarang temu janji.