Program i-SURI telah diperkenalkan oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Wan Azizah yang juga merupakan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat semasa Persidangan Keselamatan Sosial Antarabangsa KWSP 2018. i-SURI juga merupakan salah satu manifesto Pakatan Harapan semasa Pilihanraya Umum 2018. Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (Operasi), Datuk Mohd Naim Daruwish, memaklumkan bahawa mereka yang layak boleh membuat permohonan dengan berkunjung ke mana – mana cawangan KWSP yang berhampiran. Bagi individu seperti suri rumah, ibu tunggal dan juga balu yang telah berdaftar dengan e-Kasih boleh membuat caruman serendah RM 5.00 sebulan. Pihak kerajaan akan menyumbang sebanyak RM 40.00 sebulan kepada pencarum KWSP i-SURI. Program ini memberi manfaat kepada 221,890 suri rumah, 28,116 ibu tunggal dan juga 98,536 balu yang merupakan antara golongan miskin tegar dan layak menerima insentif ini.
Sumbangan Kerajaan
Sumbangan sebanyak RM 200 akan diberikan oleh pihak kerajaan kepada pencarum KWSP yang layak dan tertakluk kepada beberapa syarat. Ia akan diberikan kepada caruman bagi tempoh Ogos – Disember 2018 sahaja. Walaubagaimanapun, sumbangan caruman ini akan ditambah sehingga RM 480 setahun kepada akaun pencarum yang layak.
Kelebihan Ahli KWSP i-SURI
Setiap ahli KWSP layak menikmati kemudahan yang diberikan oleh pihak KWSP. Antara kemudahan serta kelebihan yang diberikan kepada ahli KWSP i-SURI termasuklah dividen tahunan, bantuan khairat kematian, pelepasan cukai, pengeluaran simpanan KWSP dan juga bantuan hilang upaya tertakluk kepada syarat – syarat yang telah ditetapkan.
Kelayakan Pencarum i-SURI
Golongan suri rumah yang telah pun berdaftar di dalam sistem e-Kasih sehingga 30 Jun 2018 adalah antara yang layak mencarum melalui skim i-SURI ini. Ia juga termasuk :
- Isteri kepada Ketua Isi Rumah (KIR)
- Ketua Isi Rumah (KIR) Wanita yang terdiri daripada bujang, balu atau bercerai
- Warganegara Malaysia
- Berumur 60 tahun dan ke bawah
- Membuat caruman sebanyak RM 5.00 sebulan atau RM 60.00 setahun
Cara Pendaftaran
Pendaftaran ahli KWSP atau i-SURI yang layak boleh dibuat mulai 15 Ogos 2018 di mana – mana cawangan kaunter KWSP yang berhampiran.
Pembayaran Caruman
Pembayaran caruman boleh dibuat melalui tiga cara iaitu :
- Melalui kaunter peresitan KWSP secara tunai atau cek
- Melalui kaunter panel bank KWSP (Maybank, Bank Simpanan Nasional, RHB Bank dan Public Bank ) secara tunai atau cek
- Melalui perbankan internet oleh bank yang dilantik (Maybank dan Public Bank) secara pindahan wang
Maklumat Lanjut
Pertanyaan boleh dibuat melalui Pusat Pengurusan Perhubungan di talian 03-89226000 atau dengan melayari laman web KWSP di www.kwsp.gov.my. Sekiranya ingin mendapatkan maklumat berkaitan insentif pula, ahli i-SURI boleh menghubungi sekretariat di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat di talian 03-80008000 atau layari laman web www.kpwkm.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.