

KOTA KINABALU – Kesedihan dan kemarahan masyarakat semakin memuncak susulan kematian tragis seorang pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, 13 tahun, yang dilaporkan meninggal dunia selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan asrama sekolah.
Tanda pagar #JusticeForZara yang mula tular sejak Khamis lalu telah mencetuskan satu gelombang solidariti nasional. Isu ini mendapat perhatian meluas selepas satu hantaran Facebook yang didakwa daripada ahli keluarga mangsa memuat naik kronologi penuh kejadian yang menyayat hati.
Pendedahan tersebut segera menarik perhatian netizen, yang mempersoalkan tahap keselamatan asrama, pengurusan warden, dan keperluan siasatan telus oleh pihak berkuasa.
“Kami reda, tapi kami tidak akan berdiam. Zara, kami mandikanmu dengan air mata. Tapi kami akan bela maruahmu dengan kebenaran.”
Demikian luahan penuh emosi daripada pihak keluarga yang mendakwa bahawa arwah sering berdepan tekanan semasa tinggal di asrama sejak mendaftar pada Februari lalu.
Antara dakwaan yang dikemukakan termasuk:
-
Kehilangan wang saku secara misteri
-
Dipaksa membelanja rakan
-
Disuruh keluar lewat malam untuk mengambil air panas
-
Gangguan seksual oleh rakan sebilik
-
Ketakutan terhadap seorang pelajar senior yang dikatakan tidak berpuas hati selepas Zara menegur rakan yang tidak menunaikan solat
Difahamkan, ibu kandung Zara, Noraidah Lamat, 45, pernah turun sendiri ke asrama untuk memberi amaran. Namun, Zara tetap tabah meneruskan persekolahan demi menjaga keharmonian serta mengelak daripada dilabel sebagai lemah.
Tragedi berlaku apabila warden asrama dilaporkan menghubungi keluarga sekitar jam 3 pagi untuk memaklumkan bahawa Zara telah “jatuh dan koma”.
Kini, desakan semakin kuat agar satu siasatan menyeluruh dan telus dijalankan bagi membela nasib arwah dan memastikan insiden seumpama ini tidak berulang.
