Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mencadangkan agar bantuan bulanan yang diberikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dinaikkan kepada RM 1,000 berbanding RM 200 dan RM 300 sebelum ini. Cadangan ini akan diusulkan dan dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri dengan harapan ianya dipersetujui dan diluluskan sebulat suara oleh Kabinet.
Pihak Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) turut menyokong cadangan Perdana Menteri dan berharap ianya diluluskan tanpa perlu melalui kajian yang agak lama kerana JKM mempunyai maklumat dalam pangkalan data sedia ada. Usul cadangan ini jika diluluskan dan diimplimentasikan, ianya bakal memberi impak yang besar namun Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak pedulikan hal tersebut.
Bagi Perdana Menteri, kehidupan rakyat di negara ini perlu dibantu kerana kesengsaraan hidup mereka telah lama dilalui. Kehidupan yang serba kekurangan serta pendapatan yang kecil menyukarkan kelangsungan hidup masyarakat hari ini. Tambahan pula jika ada masyarakat yang sedang berhadapan dengan penyakit kritikal dan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang tinggi untuk kos rawatan, dikhuatiri mereka ini tidak mampu untuk meneruskan rawatan.
Nasib golongan B40 perlu terus dibela seperti mana aspirasi kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ingin membantu menaiktaraf kehidupan golongan ini yang serba kekurangan. Dengan kenaikan bantuan JKM kepada RM 1,000 sebulan diharap ianya dapat mempertingkatkan kehidupan keluarga miskin di negara ini terutamanya golongan B40.