
PETALING JAYA: Bayaran Fasa 3 Sumbangan Tunai Rahmah (STR) akan mula diagihkan esok, melibatkan peruntukan RM2 bilion kepada lebih kurang 8.6 juta rakyat Malaysia.
Menurut Kementerian Kewangan, jumlah penerima pada fasa ini meningkat sebanyak 300,000 orang berbanding Fasa 1 yang dilaksanakan pada Januari lalu, dengan setiap penerima bakal memperoleh sehingga RM650.
Kementerian menjelaskan, penambahan jumlah penerima ini adalah hasil inisiatif kerajaan membuka peluang permohonan dan rayuan baharu sepanjang tahun bagi memastikan bantuan diberikan kepada golongan yang benar-benar layak.
“Langkah membuka permohonan dan rayuan tanpa had masa ini membuktikan komitmen kerajaan Madani dalam memikul amanah demi kesejahteraan rakyat, agar tiada sesiapa yang terpinggir daripada menikmati hasil kemakmuran negara,” ujar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataannya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan, STR telah memberi dorongan kepada penerima untuk mencapai tahap kewangan yang lebih stabil, seiring dengan matlamat kerajaan di bawah kerangka ekonomi Madani.
Mereka yang belum berada dalam pangkalan data STR disarankan membuat permohonan bagi tujuan pengesahan mengikut syarat kelayakan yang ditetapkan.
Penerima juga boleh menyemak status kelayakan serta mendapatkan maklumat lanjut melalui bahagian Soalan Lazim di portal rasmi STR.


