
Pelaksanaan Rasionalisasi RON95 Ditangguh, Mekanisme Masih Diperhalusi
Kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati dalam melaksanakan dasar rasionalisasi subsidi bahan api RON95 bagi memastikan tiada kesan negatif yang membebankan majoriti rakyat.
Jurucakap Kerajaan berkata Perdana Menteri tidak mahu sebarang dasar – sama ada yang sedang dirancang atau yang pernah disebut sebelum ini seperti RON95 – dilaksanakan tanpa kajian menyeluruh.
“Beliau tidak mahu pelaksanaan dasar-dasar yang boleh memberi impak negatif kepada majoriti rakyat. Ini termasuk dasar yang belum dilaksana tetapi telah dibayangkan sebelum ini, seperti berkaitan RON95,” katanya pada sidang media mingguan Kementerian Komunikasi.
Menurut beliau lagi, mekanisme pelaksanaan subsidi bersasar itu kini sedang diperhalusi, dan proses tersebut menjadi faktor utama penangguhan garis masa pelaksanaan.
Sebelum ini, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan memaklumkan bahawa pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 dijangka akan bermula pada separuh kedua tahun 2025.
Tambah beliau, Kementerian Kewangan kini memberi tumpuan kepada perbincangan terperinci bagi memastikan golongan penerima subsidi dikenal pasti secara tepat dan adil sebelum dasar itu dikuatkuasakan.
