Pengkelasan Terbaru Pendapatan Isi Rumah

Setiap isi rumah rakyat Malaysia dikelaskan mengikut pendapatan bulanan yang diterima dan pengkelasan ini dibuat oleh Jabatan Perangkaan Malaysia. Terdapat tiga kelas rakyat Malaysia terdiri dari B40, M40 dan T20 di mana ianya berdasarkan pendapatan isi rumah dan bukannya pendapatan individu. Pengkelasan ini dibuat untuk memudahkan pihak kerajaan membuat perancangan bagi menyalurkan bantuan atau subsidi yang sesuai dengan pendapatan serta kesusahan rakyat Malaysia.

B40 membawa maksud bottom 40%, M40 pula bermaksud middle 40% dan T20 adalah top 20%. Pengkelasan ini dibuat berdasarkan paras pendapatan penduduk di Malaysia dan setiap rakyat akan dikelaskan mengikut jumlah pendapatan isi rumah. Bagi kategori B40, kumpulan ini merupakan isi rumah yang mempunyai pendapatan bulanan antara RM 2,500 hingga RM 4,850 dan ke bawah. Dianggarkan sebanyak 40% rakyat (2.91 juta) berada dalam kumpulan B40 ini yang turut dikenali sebagai golongan kelas bawahan (lower income group). Golongan miskin tegar juga berada dalam kumpulan B40 ini dengan paras pendapatan yang lebih rendah iaitu sebanyak RM 980 sebulan di Semenanjung Malaysia, bawah RM 1,000 di Sarawak dan RM 1,180 di Sabah.

 

Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang ketika ini RM2,208. Jika pendapatan dibawah ini akan diketegorikan sebagi miskin.

Isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM 4,851 hingga RM 10,969 pula dikategorikan dalam kumpulan M40 yang juga dikenali sebagai golongan kelas pertengahan (middle income group). Seperti mana kumpulan B40, rakyat Malaysia yang berada di dalam kumpulan ini juga adalah sebanyak 40 %. Bagi isi rumah yang berpendapatan bulanan melebihi RM 10,970 pula dikenali sebagai golongan kelas atasan (high income group) dan hanya kira – kira 20% sahaja rakyat berada dalam kumpulan ini.

Setiap lima tahun, Jabatan Perangkaan Malaysia akan mengadakan sebanyak 2 kajian iaitu kaji selidik Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah dan juga Kemudahan Asas (PPIR & KKA) untuk mendapatkan maklumat pendapatan isi rumah rakyat Malaysia. Bagi melaksanakan kajian tersebut beberapa konsep dan istilah telah digunakan iaitu seperti berikut :

 

Isi Rumah

Individu atau sekumpulan orang (sama ada mempunyai pertalian atau tidak) yang tinggal di dalam satu rumah dan membuat perbelanjaan bagi kegunaan harian seperti makanan dan sebagainya untuk kegunaan bersama. Purata isi rumah pada tahun 2019 adalah 3.9 orang.

 

Penerima Pendapatan

Isi rumah yang menerima pendapatan sekurang – kurangnya satu penerima pendapatan. Purata penerima pendapatan pada tahun 2016 dan 2019, adalah 1.8 orang.

 

Pendapatan Isi Rumah

Pendapatan keseluruhan isi rumah, sama ada secara tunai atau sebagainya dan boleh dirujuk sebagai pendapatan kasar. Purata pendapatan bulanan pada tahun 2019 ialah RM7,901.

 

Pendapatan Purata Isi Rumah

Keseluruhan pendapatan isi rumah ditambah dan dibahagikan kepada bilangan isi rumah.

 

Pengkelasan terbaru

Kerajaan telah mengumumkan pengkelasan baharu iaitu seperti berikut :

  • B40 kepada B1, B2, B3 dan B4
  • M40 kepada M1, M2, M3 dan M4
  • T20 kepada T1 dan T2

Pengkelasan Berdasarkan Pendapatan

  • B1 –  Pendapatan dari RM 3,169 hingga RM 2,500
  • B2 – Pendapatan dari  RM 2,501 hingga RM 3,169
  • B3 – Pendapatan dari  RM 3,170 hingga RM 3,969
  • B4 – Pendapatan dari  RM 3,970 hingga RM 4,849

 

  • M1 – Pendapatan dari  RM 4,850 hingga RM 5,872
  • M2 – Pendapatan dari  RM 5,880 hingga RM 7,099
  • M3 – Pendapatan dari  RM 7,110 hingga RM 8,699
  • M4 – Pendapatan dari  RM 8,700 hingga RM 10,959

 

  • T1 – Pendapatan dari  RM 10,961 hingga RM 15,039
  • T2 – Pendapatan dari RM 15,040 dan ke atas

 

Setiap pengkelasan kumpulan pendapatan adalah tidak tetap dan ia bergantung kepada penyata Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Oleh yang demikian, pendapatan isi rumah median akan dijadikan sebagai penentu aras pengkelasan kumpulan. Maklumat yang diperolehi akan membolehkan program yang lebih bersasar dapat dilaksanakan bagi mengurangkan jurang pendapatan antara isi rumah tanpa mengira kumpulan etnik, status, jantina, status sosioekonomi serta lokasi penempatan.