Pengeluaran RM10,000 Wang KWSP, Wajar Atau Tidak ?

 

Sejak akhir – akhir ini timbul pelbagai respon mengenai pengeluaran RM 10,000 wang simpanan KWSP di kalangan pencarum. Ternyata ramai pihak bersetuju dengan cadangan tersebut, namun ada juga disebaliknya. Pihak kerajaan diseru agar membenarkan pencarum KWSP mengeluarkan wang simpanan caruman mereka dalam akaun KWSP masing – masing. Ramai berpendapat cadangan bagi pengeluaran wang simpanan caruman berjumlah RM 10,000 adalah munasabah dan sangat berguna bagi golongan peniaga dan orang awam yang berhadapan dengan krisis kewangan akibat pandemik Covid-19 yang melanda

Penularan wabak Covid-19

Virus Covid-19 yang menyerang seluruh dunia termasuk negara ini cukup membebankan. Ternyata ramai rakyat menderita akibat dibuang kerja kerana keadaan ekonomi negara yang terganggu akibat virus ini. Banyak sektor perniagaan terpaksa gulung tikar dan tidak dapat meneruskan perniagaan mereka lagi. Akibatnya, ramai pekerja terpaksa diberhentikan kerana tidak dapat menampung kos operasi yang begitu tinggi. Oleh kerana itulah, ramai yang bersetuju termasuklah Pemangku Presiden Dewan Perdagangan & Industri ASEAN (DPIA) iaitu Datuk Sohaimi Shahadan agar pihak kerajaan membenarkan pencarum KWSP untuk mengeluarkan wang simpanan caruman mereka bagi meneruskan kehidupan.

Pengeluaran wang ini boleh dilakukan secara berperingkat berdasarkan kriteria yang ditetapkan dan boleh dibayar secara ‘one off’ dalam tempoh beberapa bulan. Dengan cara ini, sekurang – kurangnya ia tidak mengganggu urusan kewangan pihak KWSP, malah memudahkan pihak KWSP membenarkan pengeluaran wang caruman individu. Walau bagaimana pun, pengeluaran ini seharusnya diberikan kepada golongan yang benar – benar terjejas akibat pandemik Covid-19 ini kerana kehilangan sumber pendapatan akibat gaji bulanan dipotong atau dibuang kerja.

Wang caruman yang dikeluarkan ini dapat membantu pencarum membiayai perbelanjaan harian keluarga, membeli ubat – ubatan, bayaran sewa rumah, pinjaman kenderaan, membayar yuran pengajian anak – anak di Institut Pengajian Tinggi dan sebagainya. Jumlah RM 10,000 adalah agak kecil berbanding beban yang terpaksa ditanggung oleh rakyat biarpun pihak kerajaan turut membantu dengan pelbagai skim bantuan seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN). Skim bantuan yang diberikan oleh kerajaan sememangnya turut membantu, namun ianya tidak lah mencukupi terutamanya bagi keluarga yang besar dan serba kekurangan. Sekurang – kurangnya rakyat menggunakan wang simpanan masing – masing bagi meneruskan kehidupan hingga hari yang mendatang.

 

Kesempitan wang di kala mengharungi kehidupan pada era Covid-19 ini juga sebenarnya cukup merunsingkan fikiran ramai orang. Tambahan pula ramai yang telah kehilangan pekerjaan dan juga punca pendapatan akibat virus ini. Ketiadaan sumber pendapatan lain untuk meneruskan kehidupan, rakyat berkemungkinan besar akan mendapatkan bantuan dari pihak ‘along’ atau meminjam dari agen pinjaman wang berlesen. Sekiranya ini berlaku, rakyat bakal berhadapan dengan masalah hidup yang lebih besar lagi.

Cadangan pengeluaran wang caruman sehingga RM 10,000 dari Akaun 1 KWSP turut mendapat sokongan dari bekas Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Razak. Beliau turut mencadangkan agar setiap pencarum yang ingin mengeluarkan wang simpanan perlu menandatangani surat aku janji agar mencarum semula setelah membuat pengeluaran secara ‘one-off’ tersebut dalam tempoh dua tahun setelah ekonomi negara pulih. Surat aku janji ini bagi menggalakkan para pencarum membuat simpanan yang lebih banyak bagi persediaan di hari tua kerana dividen yang diberikan oleh KWSP adalah agak tinggi berbanding faedah simpanan di lain – lain bank.

Wang caruman yang dikeluarkan dari Akaun 1 membolehkan rakyat menggerakkan ekonomi negara agar kedudukan ekonomi semakin pulih dan lebih aktif. Ia sebagai langkah tranformasi aliran tunai di negara ini, malah turut meringankan beban rakyat untuk terus berjuang meneruskan kehidupan serta berhadapan dengan masalah ekonomi negara. Pihak KWSP boleh membuat bayaran pengeluaran secara bulanan dalam tempoh antara 3 bulan hingga 6 bulan. Selain membantu rakyat, kerajaan juga membenarkan ekonomi negara semakin rancak dengan adanya urusniaga dari pihak rakyat. Sememangnya pengeluaran dari Akaun 1 adalah wajar dan sangat penting bagi golongan yang memerlukan. 

Keputusan Perdana Menteri untuk tidak membenarkan pengeluaran tersebut mungkin akan mengecewakan rakyat. Namun, beliau menyedari bahawa cadangan tersebut kerana situasi rakyat yang terbeban dengan impak kejatuhan ekonomi akibat virus Covid-19 tersebut. Permintaan dari rakyat ini mungkin sukar dipenuhi kerana kegusaran Perdana Menteri terhadap situasi yang bakal berlaku di masa hadapan sekiranya pengeluaran wang caruman dari Akaun 1 KWSP dibenarkan. Walau bagaimana pun, sekiranya kerajaan meluluskan pengeluaran ini, pastinya ada langkah seterusnya untuk memulihkan caruman simpanan di masa hadapan setelah berlalunya krisis ekonomi akibat Covid-19 ini.