
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi bayangan bahawa rakyat bakal menerima satu bentuk penghargaan luar biasa yang akan diumumkan dalam sehari dua lagi — sama ada esok atau Rabu.
Menurut beliau, pengumuman itu sedang diperhalusi dengan teliti bagi memastikan impaknya benar-benar memberi manfaat kepada rakyat, selaras dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan.
“Permukiman di Port Dickson semalam bukan sekadar membincangkan dasar, tetapi turut menjadi ruang untuk mendengar denyut nadi rakyat secara langsung. Segala pandangan dan keluhan yang dikongsi telah membuka ruang untuk kerajaan mempertimbang langkah-langkah baharu demi kesejahteraan bersama,” katanya.
Tambah beliau, pengumuman yang bakal dibuat mungkin melibatkan langkah tambahan tertentu, dan kerajaan memerlukan sedikit masa untuk memastikan ia benar-benar menyeluruh dan berkesan.
Anwar berkata demikian dalam Perjumpaan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini.
