Tanggal 6 April 2020 yang lepas, satu pengumuman telah dibuat oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai skim pinjaman mudah untuk para usahawan mikro TEKUN Nasional dengan kadar faedah 0%. Ia merupakan salah satu inisiatif pihak kerajaan kepada golongan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bagi meringankan beban kewangan yang dihadapi oleh usahawan PKS. Bagi membantu golongan PKS ini, kerajaan telah memperkenalkan Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro atau Covid Business Recovery – Micro (CBRM). Kelulusan maksima yang diberikan oleh pihak TEKUN adalah sebanyak RM 10,000 kepada setiap syarikat PKS yang lulus.
Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) merupakan salah satu tunjang utama bagi ekonomi negara menyumbangkan sehingga 40 peratus ekonomi negara. Malah, peluang pekerjaan yang disediakan oleh PKS adalah lebih dari dua pertiga dari jumlah pekerjaan yang terdapat di negara ini. Adalah sangat penting agar PKS sentiasa terus mampan dalam mengharungi suasana getir yang dihadapi pada masa ini. Sememangnya dunia hari ini sangat terkesan dengan wabak Covid-19 yang melanda termasuklah usahawan PKS. Antara masalah yang dihadapi pada masa ini adalah aliran wang tunai perniagaan yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Malah, usahawan PKS juga terpaksa berhadapan dengan pelbagai isu birokrasi serta pentadbiran yang menyukarkan bantuan disalurkan dengan segera oleh pihak kerajaan.
Covid Business Recovery – Micro (CBRM)
Covid Business Recovery – Micro (CBRM) merupakan skim pembiayaan mikro yang disediakan untuk perniagaan para usahawan yang terjejas kesan daripada wabak COVID-19 untuk proses pemulihan dan meningkatkan semula perniagaan sedia ada. Ia diberikan dalam bentuk suntikan modal pusingan kepada syarikat dan usahawan mikro yang terjejas akibat wabak COVID-19.
Kriteria Permohonan
Pemohon / usahawan mikro perlu memenuhi kriteria berikut sebelum membuat permohonan:
- Perniagaan usahawan mikro yang terjejas akibat wabak COVID-19
- Merupakan warganegara Malaysia (Bumiputera / India)
- Mestilah berumur 18 – 60 tahun (tempoh pembiayaan sehingga umur 65 tahun)
- Perniagaan dijalankan secara sepenuh atau separuh masa
- Mempunyai lesen / permit PBT (lesen penjaja) / daftar perniagaan yang sah (SSM) atau dokumen lain yang mengesahkan pemohon menjalankan perniagaan.
- Tidak disenarai hitam dengan institusi kewangan lain
- Bebas daripada tindakan kebankrapan
- Mempunyai rekod bayaran balik yang baik dengan TEKUN Nasional (untuk usahawan sedia ada)
- Pemohon yang berjaya perlu memilih salah satu kemudahan yang diberikan samada dari Bank Simpanan Nasional atau TEKUN Nasional
Permbiayaan ini terbuka kepada semua sektor perniagaan dengan skim pembiayaan serendah RM 1,000 hingga RM 10,000. Tempoh pembiayaan maksima adalah 3 tahun, manakala tempoh penangguhan pula adalah selama 6 bulan. Tiada kadar keuntungan yang dikenakan kepada pembiayaan Skim CBRM.
Dokumen Yang Diperlukan
Terdapat beberapa dokumen yang diperlukan semasa membuat permohonan pembiayaan ini seperti berikut :
- Borang Penzahiran Kebenaran Maklumat Individu (JPP/BORANG/17)
- Salinan Sijil Pendaftaran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau lesen perniagaan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang sah
- Salinan kad pengenalan pemohon dan pasangan
- Salinan penyata akaun bank untuk 1 bulan terkini
- Salinan salah satu bil utiliti terkini (elektrik /air / telefon)
Cara Membuat Permohonan
- Permohonan boleh dibuat secara online menggunakan borang JPP/BORANG/17 yang boleh didapati di laman web https://fas.tekun.gov.my/cbrm
- Permohonan boleh dibuat mulai 16 April 2020
- Permohonan akan diproses setelah borang lengkap diterima dan kelulusan akan diperolehi dalam tempoh 7 hari bekerja
Cara penyaluran pembiayaan CBRM di beri melalui 2 cara yang berbeza iaitu :
- 20 % daripada nilai kelulusan pembiayaan akan disalurkan semasa tempoh PKP dan baki 80% lagi akan disalurkan selepas berakhirnya tempoh PKP
- Pembiayaan 100% akan disalurkan selepas tempoh PKP
- Pemohon / usahawan perlu membuat pilihan cara penyaluran pembiayaan semasa menandatangani surat perjanjian
Maklumat Lanjut
- Sebarang maklumat lanjut yang diperlukan berhubung permohonan Skim CBRM ini boleh diperolehi dari pejabat TEKUN Nasional di talian 0390598888 (hari bekerja dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang) atau layari laman web rasmi TEKUN di http://www.tekun.gov.my atau boleh hantarkan emel kepada supportcbrm@tekun.gov.my.
- Pihak TEKUN tidak pernah melantik sebarang agen atau mana – mana pihak ketiga bagi menguruskan permohonan pembiayaan skim CBRM ini. Pemohon dinasihatkan berhati – hati supaya tidak tertipu dengan pihak yang tidak bertanggungjawab.