Rayuan GKP 2.0 Mulai 7 Hingga 21 Disember 2020

Individu yang gagal mendapatkan Geran Khas Prihatin 2.0 (GKP 2.0) boleh membuat rayuan mulai 7 hingga 21 Disember 2020. Menteri Kewangan telah membuat pengumuman agar yang gagal mendapat GKP 2.0 untuk membuat rayuan selewat – lewatnya hingga 21 Disember 2020 ini. Semakan kelulusan GKP 2.0 telah dibuka mulai 27 November 2020 dan individu boleh membuat semakan secara dalam talian sahaja iaitu di https://www.gkp.hasil.gov.my. Sekiranya keputusan permohonan anda tidak lulus, maka permohonan rayuan boleh dibuat kepada pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN). Pihak LHDN akan membuat semakan serta verifikasi semula berdasarkan dokumen sokongan yang dikemukakan oleh individu ketika membuat permohonan rayuan. Setiap permohonan yang diterima akan disemak silang terlebih dahulu dengan data yang terdapat pada agensi yang telah ditetapkan oleh kerajaan dan data tersebut akan diambil sehingga 31 Ogos 2020 sahaja. Antara agensi yang terlibat adalah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan juga LHDN.

Menurut Menteri Kewangan Malaysia, pada peringkat awal seramai 850,000 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro telah pun menerima GKP dan GKP 2.0 dengan peruntukan kewangan sebanyak RM 2.55 bilion. Pemohon GKP dan GKP 2.0 yang berjaya telah pun dikreditkan sebanyak RM 3,000 secara one-off ke akaun bank yang telah didaftarkan.

 

Syarat dan Kriteria Pemohon 

Syarat dan kriteria pemohon yang belum mendapat GKP 2.0 dan ingin membuat permohonan rayuan adalah seperti berikut :

 

  • Merupakan warganegara Malaysia
  • Sedang giat dan masih aktif menjalankan perniagaan
  • Perolehan tahunan atau jumlah jualan mestilah kurang daripada RM300,000
  • Pekerja tidak melebihi 4 orang (sepenuh masa), tidak termasuk pemilik

 

Bagi yang ingin membuat rayuan GKP 2.0, permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui laman web https://www.gkp.hasil.gov.my. Inisiatif ini jelas menunjukkan pihak kerajaan sentiasa prihatin terhadap kesukaran serta cabaran yang dihadapi oleh para PKS terutamanya PKS mikro yang turut berhadapan dengan pandemik Covid-19. Bantuan GKP 2.0 ini antara komitmen kerajaan yang sentiasa membantu para PKS mikro yang turut terjejas. Ianya dapat meringankan beban kewangan para pengusaha akibat penularan wabak ini.

 

Maklumat Lanjut 

Maklumat lanjut boleh diperolehi dengan menghubungi pihak LHDN seperti medium berikut :

  • Telefon : 03-8911 1000 atau 603-8911 1100 (luar negara)
  • HASiL Live Chat
  • Borang Maklum Balas di laman web LHDNM