RMK13: Bantuan STR dan SARA Diteruskan Demi Rakyat

RMK13: Bantuan STR, SARA dan Program Rahmah Diteruskan Demi Kebajikan Rakyat

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan meneruskan pelbagai inisiatif bantuan sosial termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menerusi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh lima tahun akan datang.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata agenda Payung Rahmah akan terus diperkukuh melalui program-program utama seperti Jualan Rahmah, Menu Rahmah, Kafe Rahmah dan Bakul Rahmah bagi memastikan rakyat dapat memperoleh makanan pada harga yang berpatutan.

Selain itu, Pakej Rahmah bagi perkhidmatan internet serta pelan insurans dan takaful mampu milik turut akan diteruskan sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan beban sara hidup.

“Kerajaan juga komited memastikan kos pengangkutan awam kekal munasabah melalui inisiatif seperti pas perjalanan bulanan, serta pas khas untuk pelajar, warga emas dan OKU. Subsidi tiket penerbangan untuk pelajar turut dikekalkan,” katanya semasa pembentangan RMK13 di Dewan Rakyat, Khamis.

Dalam usaha memperkukuh sistem sosial berasaskan nilai insan madani, program Kembara Perpaduan Malaysia akan diteruskan bagi menyemai semangat keharmonian antara masyarakat pelbagai latar menerusi pendidikan nilai dan dialog rentas budaya.

Anwar turut memaklumkan bahawa kerajaan akan membangunkan Piagam Harmoni Malaysia, yang akan menjadi rujukan utama dalam memelihara hubungan antara agama dan kaum di negara ini.