
PUTRAJAYA, 23 Julai 2025 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan bahawa harga petrol RON95 akan diturunkan kepada RM1.99 seliter selepas pelaksanaan mekanisme penyasaran subsidi yang dijangka bermula akhir September 2025. Ini merupakan penurunan daripada harga semasa iaitu RM2.05 seliter.
Menurut beliau, langkah ini sejajar dengan pendekatan kerajaan untuk menyusun semula subsidi secara bersasar, sama seperti yang telah dilaksanakan untuk subsidi elektrik, bagi memastikan hanya golongan yang benar-benar layak menikmati bantuan kerajaan.
Beliau menjelaskan bahawa inisiatif ini akan memberi manfaat kepada lebih 18 juta rakyat Malaysia, termasuk pemandu kereta, penunggang motosikal, golongan belia seawal usia 16 tahun, dan pekerja ekonomi gig.
Langkah penyasaran subsidi ini turut bertujuan mengoptimumkan penggunaan sumber negara, mengelakkan ketirisan, serta memastikan bantuan sampai kepada golongan yang paling memerlukan.
