Skim Bantuan Jayadiri Lembaga Zakat Negeri Kedah

Dalam kehidupan seharian kita, masih ada golongan yang terpinggir dan kurang bernasib baik namun terpaksa meneruskan kehidupan sehingga hari ini dengan apa cara sekali pun. Ramai yang ingin menceburi bidang perniagaan, namun tiada modal untuk memulakan perniagaan dan akhirnya hasrat tersebut tidak dapat dicapai. Menyedari bahawa golongan fakir dan miskin wajib dibantu, Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) mengambil inisiatif menyediakan Skim Bantuan Jayadiri khas buat para usahawan serta para peniaga negeri Kedah.  

Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK) memperkenalkan Skim Bantuan Jayadiri bagi membantu golongan fakir dan miskin menjalankan perniagaan mereka sendiri. Bantuan yang diberikan adalah dalam bentuk wang atau peralatan perniagaan dengan harapan golongan ini berupaya menjalankan perniagaan seterusnya mampu menyara kehidupan mereka sekeluarga serta menjana pendapatan yang stabil setiap bulan. Ia juga sebagai salah satu langkah golongan ini keluar dari kepompong kemiskinan dengan menghasilkan produk sendiri.

 

Kriteria dan Syarat Kelayakan

Pemohon yang ingin mendapatkan bantuan ini mestilah memenuhi kriteria dan syarat yang ditetapkan seperti berikut :

  1. Mestilah beragama Islam
  2. Menjalankan perniagaan yang dibenarkan sahaja serta tidak melanggar undang – undang dan mematuhi syarak
  3. Masih menjalan perniagaan serta berpotensi untuk dimajukan

 

Cara Permohonan

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian seperti berikut :

  1. Layari portal rasmi Lembaga Zakat Negeri Kedah di http://www.zakatkedah.com.my
  2. Klik butang Menu Agihan, kemudian klik Senarai Bantuan dan butang Bantuan Perniagaan Jayadiri
  3. Pemohon perlu mengemukakan sebutharga / peralatan / spesifikasi barangan yang igin dimohon dengan jelas
  4. Pemohon perlu mengemukakan Salinan Pendaftaran Perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) (sekiranya ada)
  5. Dokumen berikut WAJIB dikemukakan seperti :
  1. a) Laporan bergambar rumah pemohon
  2. b) Laporan bergambar bengkel / kedai semasa
  3. c) Laporan bergambar peralatan – peralatan sedia ada
  1. Pemohon perlu mengemukakan sijil / kursus berkonsepkan perniagaan / keusahawanan (sekiranya ada)
  2. Pemohon WAJIB mengisi maklumat dengan tepat di semua ruangan di dalam Borang Bantuan LZNK
  3. Salinan kad pengenalan pasangan dan tanggungan WAJIB disertakan (sekiranya ada)
  4. Cetak borang yang telah lengkap dan dapatkan cop pengesahan Penolong Amil kariah
  5. Borang tersebut perlu diserahkan kepada Penolong Amil atau Pejabat Zakat Daerah berhampiran bersama – sama dokumen sokongan yang diperlukan

 

Proses Kelulusan

  • Pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah akan membuat tapisan awal dan siasatan ke atas setiap permohonan yang diterima sebelum memberi kelulusan
  • Kakitangan Pejabat Zakat Daerah atau Penolong Amil akan membuat lawatan ke tapak aktiviti perniagaan yang dijalankan bagi memastikan kriteria serta syarat – syarat yang telah ditetapkan dipenuhi oleh pemohon sebelum menyokong permohonan tersebut
  • Pegawai Zakat Daerah perlu memberi ulasan yang jelas dan tepat mengenai kelayakan pemohon sebelum sebarang keputusan boleh dilakukan

Kaedah Agihan Bantuan

Bantuan akan diberikan kepada penerima melalui salah satu cara berikut :

  1. Melalui pindahan wang secara terus ke akaun atau melalui cek yang dibayar kepada pemohon sebagai modal pusingan
  2. Melalui kaedah perolehan di mana barang keperluan atau peralatan akan dihantar terus kepada pemohon

 

Lembaga Zakat Negeri Kedah akan membuat semakan, tapisan dan penilaian dengan sebaiknya sebelum membuat keputusan untuk meluluskan bantuan. Permohonan yang tidak lengkap atau sebarang pemalsuan maklumat atau dokumen akan ditolak. Pihak LZNK boleh melawat pada bila – bila masa sahaja ke premis perniagaan pemohon tanpa sebarang bantahan bagi tujuan penilaian. Pemohon yang tidak mahu bekerjasama ketika pegawai dari LZNK datang melawat premis perniagaan akan menyukarkan penilaian dibuat. 

 

Maklumat Lanjut

Sebarang maklumat lanjut mengenai Skim Bantuan Perniagaan Jayadiri oleh Lembaga Zakat Negeri Kedah boleh diperolehi melalui salah satu medium berikut :

  1. Pejabat Zakat Daerah berhampiran
  2. Bahagian Pembangunan Asnaf Lembaga Zakat Negeri Kedah
  3. Nombor telefon : 04-7331740
  4. Alamat emel : bpa@zakatkedah.com
  5. Facebook : Lembaga Zakat Negeri Kedah Darul Aman