Kerajaan telah mengumumkan bahawa Bantuan Prihatin Nasional (BPN) akan dibayar mulai 6 April 2020 iaitu secara berperingkat sehingga 15 April 2020. Setiap penerima bantuan yang layak akan menerima emel dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) atau SMS mulai 1 April 2020. Pembayaran bantuan akan dibuat secara pengkreditan terus ke akaun bank penerima berdasarkan maklumat yang terdapat di dalam sistem dan pemohon boleh membuat pengeluaran wang pada bila – bila masa sahaja sekiranya bantuan telah dikreditkan ke akaun bank masing – masing. Jumlah bayaran akan dikreditkan sebanyak 2 kali iaitu mulai bulan April dan Mei 2020, namun bagi yang baru membuat permohonan akan menerima bantuan secara sekaligus iaitu pada bulan Mei 2020. Bagi membantu rakyat yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 9.24 bilion secara keseluruhan dengan kaedah pembayaran dilakukan dalam dua fasa iaitu pada bulan April dan juga Mei 2020. Bantuan Prihation Nasional ini tidak hanya tertumpu kepada golongan B40, namun turut diberikan kepada golongan M40 yang cukup syarat seperti yang ditetapkan.
Punca Bayaran Gagal Dikreditkan Ke Akaun Bank
- Penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) sebelum ini tidak perlu membuat sebarang permohonan bagi Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kerana pihak LHDN akan mengambil data penerima BSH dalam pangkalan data sedia ada untuk penyaluran bantuan
- Walau bagaimana pun, terdapat segelintir yang tetap membuat semakan di portal rasmi BPN dan membuat permohonan baru dalam sistem
- Permohonan baru di kalangan penerima BSH menyebabkan duplikasi permohonan berlaku, oleh itu pembayaran bantuan gagal dikreditkan ke akaun penerima
- Sesetengah kes pula terdiri dari penerima yang tidak mempunyai akaun bank untuk dikreditkan bayaran bantuan biarpun BPN telah lulus
Tindakan Yang Perlu Diambil
- Layari laman web rasmi BPN di https://bpn.hasil.gov.my untuk semakan status permohonan
- Log masuk akaun BPN dan lihat paparan skrin
- Pastikan Status Kredit anda Gagal Kredit
- Semak Nombor Baucar dan No Siri yang dipaparkan
- Sekiranya tiada No. Siri, anda perlu membuat semakan semula
- No. Siri yang sudah tersedia dipaparkan adalah penting untuk pemohon menebus wang tunai bantuan di Bank Simpanan Nasional (BSN)
- Penebusan wang tunai hanya boleh dibuat setelah tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat
Sekiranya tempoh PKP telah tamat pada 28 April 2020, penerima BPN boleh membuat penebusan wang tunai keesokan harinya pada waktu hari bekerja. Namun, jika wabak Covid-19 masih belum selesai dan tempoh PKP dilanjutkan, maka penebusan wang tunai tidak boleh dilakukan. Walau bagaimana pun, ia tertakluk kepada keputusan pihak kerajaan mengenai perkara ini. Adalah sangat penting setiap penerima bersabar menanti sehingga tempoh PKP ini tamat untuk membuat penebusan di kaunter BSN.