Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) 2020 : Pendaftaran Program RiDE
Kerajaan negeri Selangor merupakan sebuah kerajaan yang sentiasa peka dan prihatin terhadap permasalahan yang dihadapi oleh rakyatnya. Oleh sebab itu, kerajaan negeri Selangor sentiasa mencari jalan serta berusaha memperkenalkan pelbagai inisiatif bagi membantu meringankan bebanan rakyat Selangor. Golongan berpendapatan rendah serta kurang berkemampuan merupakan golongan yang harus dibantu oleh kerajaan negeri terutamanya dari segi ekonomi, pendidikan serta sosial.
Menerusi Belanjawan Selangor 2020, kerajaan Selangor telah memperuntukkan sebanyak RM 1 juta sebagai subsidi program yang dikenali sebagai Roda Darul Ehsan (RiDE). Ia merupakan salah satu inisiatif kerajaan negeri dalam Inisiatif Peduli Rakyat yang dibentangkan semasa Belanjawan Selangor 2020. Program RiDE yang diperkenalkan oleh kerajaan Selangor merupakan bantuan yang akan diberikan kepada anak muda tempatan untuk memiliki lesen motosikal yang sah menggunakan subsidi negeri Selangor.
Sasaran kerajaan Selangor bagi program ini adalah seramai 3,000 orang kategori belia dengan bantuan subsidi sebanyak RM 350 bagi menghadiri kursus latihan lesen motosikal. Rata – rata Institut Latihan Memandu mengenakan caj sebanyak RM 350 hingga RM 450 untuk memiliki lesen motosikal. Inisiatif yang dianjurkan oleh kerajaan negeri Selangor ini dilihat dapat meningkatkan peluang pekerjaan serta pertambahan ekonomi di kalangan anak muda dalam industri penghantaran serta logistik. Ia secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan bebanan keluarga dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup.
Syarat dan Kriteria Permohonan
Pemohon perlu memenuhi syarat dan kriteria berikut :
- Lahir dan menetap di Selangor
- Keutamaan kepada pemohon yang kurang berkemampuan dan miskin bandar
- Berumur 17 hingga 30 tahun
Cara Membuat Permohonan
- Isi borang permohonan yang boleh diperolehi dari pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) masing – masing
- Setiap permohonan akan diproses oleh Bahagian Pembangunan Generasi Muda Majlis Sukan Negeri Selangor
- Permohonan dibuka mulai 1 Ogos 2020 berdasarkan Pelan Pemulihan Ekonomi Negeri Selangor 2020
Kelebihan RiDE
- Anak muda yang berjaya mendapat lesen melalui inisiatif RiDE ini berpeluang menceburi bidang e-hailing sebagai perkhidmatan penghantar seperti Foodpanda, GrabFood, Dahmakan, Lalamove dan sebagainya
- Mendapat pendapatan bulanan yang dapat menampung keperluan harian
Kerajaan negeri Selangor juga telah membuat pertambahan peruntukan sebanyak RM 1 juta dan menjadikan peruntukan keseluruhan adalah sebanyak RM 2 juta bagi menjayakan Inisiatif Roda Darul Ehsan 2020 ini.
Maklumat Lanjut
Sebarang maklumat lanjut berkenaan Permohonan Roda Darul Ehsan (RiDE) 2020 ini boleh diperolehi dari laman web rasmi di https://ssipr.selangor.gov.my/.