Menurut siaran akhbar Berita Harian pada 25 Januari, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata PKP berkemungkinan tidak akan disambung selepas 4 Februari atas faktor ekonomi. Namun adakah ini langkah yang terbaik kerana kes Covid-19 menaik dengan mendadak kebelakangan ini. Malaysia mencatatkan 5,725 kes positif sehari pada penghujung bulan Januari dah adalah antara yang tertinggi di Negara Asean jika dibandingkan dengan jumlah penduduk negara.
Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dikuatkuasakan sejak 18 Mac 2020 kerana berlakunya pandemik Covid-19 di Malaysia. Pelaksanaan PKP ini bagi mengawal penularan wabak Covid-19 dari terus merebak serta menjangkiti orang ramai. Pada 1 Mei 2020, Perdana Menteri telah mengumumkan pula pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKBP) dengan sedikit kelonggaran syarat pelaksanaannya. Ia kemudiannya bertukar kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) mulai 10 Jun 2020 memandangkan terdapat penurunan kes harian wabak ini.
Kes Covid terus memuncak
Setelah beberapa bulan melaksanakan PKPP di seluruh negara dengan adanya penurunan kes harian, malangnya kes tiba – tiba memuncak naik semula menjelang hujung Disember 2020. Justeru, kerajaan telah mengumumkan semula pelaksanaan PKP di beberapa buah negeri dan kemudiannya pelaksanaannya telah dilanjutkan ke seluruh Malaysia. Tempoh pelaksanaan PKP diarahkan sehingga 4 Februari 2021.
Menurut beberapa sumber, PKP mungkin tidak akan dilanjutkan selepas 4 Februari 2021 demi kepentingan ekonomi negara yang baru sahaja memasuki fasa pemulihan setelah beberapa bulan terjejas akibat wabak Covid-19 ini. Namun, adakah wajar PKP ditamatkan atau dilanjutkan sehingga kes penularan Covid-19 benar – benar mendatar ?
Sewajarnya PKP ini dilanjutkan untuk beberapa minggu lagi memandangkan kes harian masih berada pada tahap yang tinggi. Sebaiknya PKP dilaksanakan seperti di peringkat awal dahulu dengan tidak membenarkan orang ramai berada di luar rumah dengan sewenang – wenangnya tanpa alasan, mengehadkan jumlah kakitangan yang bekerja serta mengawal selia dengan lebih ketat lagi kehadiran kakitangan ke pejabat. Bagi peringkat sektor ekonomi pula, SOP yang lebih ketat adalah perlu kerana kebanyakan kes yang meningkat pada hari ini berpunca dari pekerja sektor industri yang kebanyakannya terdiri dari warga asing.
Semua pengajian and pelajaran tergendala
Para pelajar sekolah serta pusat pengajian tinggi boleh meneruskan pembelajaran secara dalam talian sahaja memandangkan situasi pada masa ini tidak sesuai untuk para pelajar hadir ke kelas secara fizikal. Kakitangan kerajaan dan syarikat swasta juga boleh meneruskan tugasan rasmi hanya dari rumah memandangkan method bekerja dari rumah sudah menjadi salah satu kaedah terbaik pada masa ini. Sekurang – kurangnya ia dapat meneruskan kelangsungan tugasan pejabat, malah mesyuarat dan perbincangan kerja juga boleh dilakukan secara dalam talian tanpa perlu bertemu muka.
Pelaksanaan PKP yang dikuatkuasakan sehingga hari ini bagi memastikan penularan wabak COVID-19 dapat dibendung sepenuhnya dan dapat mengelakkan peningkatan kes yang mendadak. Sekiranya tempoh PKP ini dilanjutkan, sememangnya ia akan memberi kesan kepada ekonomi dan berkemungkinan lebih ramai yang akan kehilangan pekerjaan. Namun, kerajaan juga seharusnya membantu serta memberi alternatif kepada pihak majikan agar tidak terlalu terkesan dengan pelaksanaan PKP dan masih boleh menjana ekonomi serta pendapatan negara.
PKP juga boleh dikhususkan kepada kawasan setempat yang mempunyai bilangan kes yang tinggi supaya ianya dapat dikawal dengan lebih baik. Manakala kawasan yang kurang kes boleh diberikan sedikit kelonggaran namun masih perlu menitikberatkan SOP yang dikuatkuasakan sehingga kes benar – benar terkawal. Pihak kerajaan juga mungkin boleh mengenakan SOP yang lebih ketat supaya orang ramai lebih berdisiplin serta sama – sama berusaha mengekang penularan wabak ini. Di samping meneruskan PKP untuk beberapa minggu lagi, ibu bapa juga seharusnya bertanggungjawab terhadap keselamatan keluarga dan tidak sewenang – wenangnya membawa keluar anak kecil ke kawasan orang ramai seperti pusat membeli belah dengan alasan tiada penjaga di rumah. Sebagai rakyat Malaysia yang bertanggungjawab, kita juga harus sama – sama memainkan peranan bagi mengekang penularan virus Covid-19 ini.