Status permohonan i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sudah boleh disemak mulai 4 Januari 2021. Pelbagai reaksi masyarakat tatkala mengetahui status permohonan masing – masing. Bagi permohonan yang diluluskan, kegembiraan jelas terpancar di wajah masing – masing. Namun, bagi yang gagal, pastinya berasa kecewa dengan keputusan tersebut. Sepatutnya kerajaan melalui KWSP memudahkan rakyat yang dibebani dengan masalah kewangan akibat pandemik Covid-19 kerana telah hilang punca pendapatan membuat pengeluaran wang caruman mereka.
Pelaksanaan i-Sinar ibarat indah khabar dari rupa kerana ramai yang dikatakan tidak memenuhi syarat yang ditetapkan dan gagal memohon. Ia tidaklah semudah yang disangka seperti mana yang diumumkan oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz semasa membuat penggulungan Belanjawan 2021 yang lalu. Bagi membolehkan rakyat mengeluarkan wang caruman KWSP, syarat yang ditetapkan menyukarkan pengeluaran tersebut.
Dari sudut pandangan pihak kerajaan, pengeluaran wang KWSP yang dibenarkan akan memberi kesan kepada kedua – dua belah pihak samada pencarum atau pihak KWSP. Memandangkan pandemik Covid-19 belum berakhir, ramai yang terkesan dengan wabak ini kerana mula kehilangan pekerjaan dan tiada sumber pendapatan lain. Ia sememangnya akan memberi impak positif kepada ahli KWSP yang berjaya membuat pengeluaran di mana ianya dapat mengurangkan bebanan kos hidup semasa berdepan dengan Covid-19 yang semakin menular ini.
Walau bagaimanapun, pengeluaran ini akan memberi impak negatif bagi pertumbuhan ekonomi jangka masa panjang di mana, simpanan tersebut jika tidak dikeluarkan dapat meningkat pengumpulan modal dalam pembangunan ekonomi negara. Namun, bagi situasi pada masa ini, kerajaan juga seharusnya menitik beratkan keperluan serta kesusahan rakyat yang begitu memerlukan wang demi meneruskan kelangsungan hidup.
Rakyat bukannya sengaja ingin membuat pengeluaran wang caruman tanpa sebab kerana simpanan tersebut sememangnya dikhususkan untuk persaraan nanti simpanan setelah bersara nanti. Pengeluaran yang dibuat kerana terdapat keperluan yang mendesak dan bukannya digunakan untuk perkara sia – sia. Kadar pengeluaran juga telah ditetapkan oleh KWSP dengan kadar 10% dari jumlah simpanan dan tertakluk kepada baki minima iaitu sebanyak RM 100. Oleh yang demikian, bagi ahli KWSP yang telah lama mencarum, pastinya mempunyai wang caruman yang agak banyak dan dapat dikeluarkan melalui i-Sinar ini. Wang simpanan caruman yang masih berbaki dalam Akaun 1 sebenarnya boleh membantu pihak kerajaan menjana semula ekonomi dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara. Kerajaan juga seharusnya mencari alternatif lain bagaimana dapat memulihkan caruman simpanan KWSP setelah berakhirnya Covid-19 ini.
Jika benar ingin membantu rakyat, kerajaan perlu melonggarkan sedikit syarat permohonan i-Sinar ini supaya lebih ramai ahli KWSP boleh mengeluarkan wang simpanan mereka bagi meneruskan kehidupan di saat getir pandemik Covid-19 ini.