Wajarkah Pengeluaran KWSP hanya Untuk Golongan Bersasar?

Wajarkah hanya yang bersasar bolen mengeluar akaun 1 mereka?

 

Ramai rakyat begitu terkesan dengan wabak Covid-19 yang sedang menular di negara ini. Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan mulai 18 Mac 2020, ramai individu telah kehilangan pekerjaan kerana banyak sektor perniagaan terpaksa ditutup kerana tidak lagi dapat menampung kos operasi syarikat. Akibat Covid-19 ini, kadar pengangguran di negara ini telah meningkat dari 3 peratus kepada 5.4 peratus dengan kadar tambahan penganggur baru seramai 240,000. Penganggur yang kehilangan pekerjaan semasa Covid-19 ini melanda begitu tertekan dengan kehidupan yang terpaksa di hadapi pada masa ini.  

 

 

Bagi yang mempunyai wang simpanan di saat kecemasan, pastinya tidak begitu tertekan. Namun, kebanyakan individu yang terpaksa berhenti kerja tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian, apatah lagi bagi yang mempunyai tanggungan yang ramai, pastinya merungsingkan. Sumber pendapatan tiada lagi diperolehi secara bulanan, malah, wang simpanan juga akan mulai susut dari masa ke semasa. 

Terdapat sesetengah individu yang memulakan perniagaan kecil – kecilan, namun tidak semuanya berjaya dan mengambil masa yang agak lama serta memerlukan modal yang besar. Oleh yang demikian, pengumuman yang membenarkan ahli KWSP mengeluarkan wang simpanan caruman mereka dari Akaun 1 KWSP adalah sangat dinanti – nantikan.

 

Di bawah perbentangan Bajet 2021, Kerajaan telah bersetuju untuk membenarkan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membuat pengeluaran wang caruman dari Akaun 1 secara bersasar. Pengeluaran wang caruman ini bertujuan membantu golongan yang terjejas akibat Covid-19 kerana terdapat di kalangan rakyat Malaysia yang telah kehilangan pekerjaan atau sumber pendapatan. Wang yang dikeluarkan ini dapat digunakan untuk menampung kehidupan harian serta menampung perbelanjaan keluarga.

Terdapat sesetengah pihak yang tidak bersetuju dengan pengeluaran wang KWSP dari Akaun 1 ini kerana ianya merupakan tabungan untuk masa hadapan menjelangnya fasa persaraan apabila mencecah umur wajib pencen. Namun, sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dengan isu dan permasalahan yang dihadapi oleh rakyat hari ini, maka keputusan membenarkan ahli mengeluarkan wang caruman mereka sangat disambut baik oleh rakyat. 

Pengeluaran bersasar yang dibenarkan ini adalah untuk jangka masa pendek bagi meringankan bebanan kewangan individu yang terkesan dengan Covid-19. Sebilangan kecil telah kehilangan pekerjaan dan tiada sumber pendapatan lain bagi meneruskan kehidupan. Kemudahan pengeluaran yang dikhususkan kepada ahli yang benar – benar memerlukan merupakan peluang yang perlu digunakan sebaik – baiknya. Selain itu juga, wang tersebut yang digunakan bagi mendapatkan barangan keperluan membolehkan ekonomi negara dijana dan dapat memulihkan kitaran ekonomi serta perniagaan yang terjejas. Ahli KWSP akan menerima wang mereka melalui pengeluaran bulanan iaitu selama 12 bulan dan tidak, berikan secara one off bagi mengelakkan perancangan kewangan yang tidak teratur. Malah, dengan cara ini, ahli KWSP tersebut akan lebih berdisiplin dalam mengawal serta mengatur perbelanjaan bulanan mereka.

Penjanaan ekonomi yang berterusan membolehkan masyarakat dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik di mana dunia perniagaan semakin berkembang aktif. Peluang pekerjaan akan mula dibuka kepada masyarakat sekiranya ekonomi semakin bergerak maju. Oleh kerana itu, sebagai rakyat yang bertanggungjawab, wang KWSP yang dikeluarkan hendaklah digunakan dengan sebaik mungkin bagi menampung kehidupan harian yang terjeas akibat covid ini. Pengeluaran KWSP secara bersasar yang dibenarkan ini dapat memberi manfaat kepada 600,000 orang pencarum KWSP yang terkesan akibat penularan Covid-19 yang melanda.